Pantaran Kitani memperkukuh usaha memelihara, mengekalkan warisan budaya negara

16 Sep 2026 - 7:34am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Azmah Haji Ahad

TUNGKU LINK, Selasa, 15 September. - Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), dengan kerjasama Perpustakaan UBD, hari ini melancarkan secara rasmi 'Pantaran Kitani: Sustaining Heritage Through Education' (Memelihara Warisan Melalui Pendidikan), sebuah pameran yang mengetengahkan warisan budaya Brunei yang kaya  dalam bidang pendidikan guru dan amalan bilik darjah.

Sehubungan itu, perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan, selaku tetamu kehormat.

Pameran yang diadakan dari 15 hingga 16 September 2026, di Lobi Tingkat Bawah Perpustakaan UBD, dibukakan kepada orang ramai mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Berteraskan tema 'Bridging Education and Heritage for Cultural Sustainability' (Menghubungkan Pendidikan dan Warisan Demi Kelestarian Budaya), Pantaran Kitani menghimpunkan agensi warisan, penyelidik, pendidik, pelajar Sarjana Pengajaran (MTeach), pelajar sekolah rendah dan menengah, serta warga UBD untuk meneroka bagaimana warisan ketara dan tidak ketara Negara Brunei Darussalam (NBD) boleh dijadikan sumber yang hidup, tulen, dan bermakna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Tumpuan utama pameran ini ialah bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh pelajar MTeach bagi menunjukkan bagaimana elemen warisan NBD boleh diolah dan disepadukan ke dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja (MIB), dan Pendidikan Seni.

Melalui bahan-bahan ini, pameran ini mengetengahkan potensi pendidikan warisan dalam memperkukuh identiti dan nilai budaya, di samping menggalakkan pembelajaran bilik darjah yang bermakna dan menarik minat.

Nama Pantaran Kitani diilhamkan daripada konsep 'pantaran' dalam seni bina tradisional Melayu Brunei, yang merujuk kepada ruang untuk menyambut tetamu, berkumpul, dan berinteraksi secara sosial.

Dalam konteks pameran ini, Pantaran Kitani melambangkan titik pertemuan yang menghubungkan institusi pendidikan dengan agensi warisan, sumber warisan dengan bilik darjah, penyelidikan dengan amalan pengajaran, serta generasi muda dengan warisan budaya Brunei.

Pameran ini berkait rapat dengan modul 'ET-5362-P: Integration Through Heritage Education' (Integrasi Melalui Pendidikan Warisan), yang ditawarkan kepada pelajar MTeach, khususnya mereka yang mengkhusus dalam Pendidikan Rendah (Aliran Bahasa Melayu).

Modul ini memberi peluang kepada bakal guru untuk mendalami pemahaman mereka memahami tentang warisan Brunei Darussalam sambil meneroka pendekatan pedagogi bagi mengintegrasikan warisan secara bermakna ke dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Penolong Profesor, Dr. Awang Haji Abu Bakar Haji Madin, selaku Pengerusi Pameran Pantaran Kitani 2026 berkata, pendidikan warisan bukan sahaja menyediakan sumber yang bermakna dan nilai tambah kepada proses pendidikan, malah turut berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan ilmu, memupuk inspirasi, dan berkongsi maklumat berharga dengan guru, pelajar, serta generasi akan datang dalam usaha memelihara, mengekalkan, dan memperkukuh warisan budaya negara.

Pameran ini juga menyediakan platform bagi SHBIE dan Perpustakaan UBD untuk memperkukuh lagi hubungan dengan agensi warisan, sekolah, dan pihak berkepentingan yang lain.

Kerjasama seumpama ini menyokong perkongsian ilmu dan kepakaran, di samping mewujudkan peluang untuk penyelidikan masa hadapan, pembangunan sumber, dan kerjasama profesional dalam bidang pendidikan warisan.

Perpustakaan UBD bertindak sebagai penganjur bersama dan lokasi utama pameran, mencerminkan peranannya sebagai pusat ilmu yang menghubungkan sumber warisan, penyelidikan, pendidikan, dan masyarakat umum.

Inisiatif ini juga menyokong aspirasi lebih luas Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu (UN SDG), khususnya SDG 4.7 mengenai pendidikan untuk pembangunan mampan dan kepelbagaian budaya, serta SDG 11.4 mengenai pemeliharaan warisan budaya. Melalui Pantaran Kitani, SHBIE dan Perpustakaan UBD berharap dapat memperkukuh kedudukan warisan Brunei Darussalam dalam bidang pendidikan dan menggalakkan bakal guru untuk mengubah pengetahuan budaya menjadi pengalaman bilik darjah yang bermakna.

Dengan menghubungkan warisan, pendidikan, dan masyarakat, pameran ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda agar memahami, menghargai, dan meneruskan kelestarian warisan budaya Brunei.