Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
DOHA, QATAR, Selasa, 10 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berangkat meninggalkan Negara Qatar setelah menamatkan Lawatan Rasmi selama tiga hari mulai Ahad, 8 November 2026 atas undangan His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar.
Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah sepanjang Lawatan Rasmi berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Sebelum berangkat meninggalkan Doha, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Vice Chair of the Board of Trustees of Qatar Museums, Tuan Yang Terutama Sheikh Thani bin Hamad bin Khalifa Al Thani; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad A. A. Al-Marri.
Juga hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Negara Qatar, Tuan Yang Terutama Haji Mohamed Bahrin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar.
Lawatan Rasmi DYTM ke Negara Qatar merupakan satu peristiwa bersejarah yang menandakan Ulang Tahun Ke-35 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara NBD dan Negara Qatar.
Majlis-majlis perjumpaan di Amiri Diwan mencerminkan layanan mesra, persahabatan yang mendalam, serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara kedua-dua buah negara. Semasa kunjungan hormat kepada His Highness Amir Negara Qatar, DYTM dan His Highness Timbalan Amir telah bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha strategik untuk mempelbagaikan ekonomi kedua-dua negara yang kaya dengan sumber minyak, serta meneroka peluang baharu bagi memperluaskan pelaburan bersama.
Perbincangan berkenaan diperkukuh lagi dalam majlis perjumpaan seterusnya bersama His Highness Timbalan Amir, yang menumpukan kepada langkah-langkah konkrit bagi mempererat kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan, ekonomi, dan pelaburan.
Dalam konteks geopolitik yang lebih luas, DYTM memuji peranan penting Negara Qatar sebagai orang tengah dalam hal ehwal antarabangsa, serta membincangkan potensi kerjasama bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Perbincangan tersebut turut menyentuh masa depan, dengan mengetengahkan peristiwa-peristiwa penting bagi NBD menjelang 2027, termasuk Sambutan Jubli Intan 60 Tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta Visit Brunei Year.
Lawatan peringkat tinggi berkenaan menjadi asas bagi kerjasama masa depan serta potensi perkongsian dalam bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi melalui interaksi-interaksi yang produktif di Qatar Foundation, Education City, dan Qatar Environment dan Energy Research Institute (QEERI).
Pertukaran pengetahuan yang berharga turut diadakan dalam bidang penjagaan kesihatan khusus, kebajikan sosial, dan pemerkasa komuniti semasa lawatan ke Sidra Medicine dan Shafallah Center for Persons with Disabilities.
Selain itu, kerjasama dalam pembangunan bakat belia serta metodologi latihan sukan turut diketengahkan di Paris Saint Germain Football Academy. Pencapaian-pencapaian kolektif berkenaan akan terus memperdalam persefahaman bersama, menggalakkan pembangunan kapasiti yang bermakna, serta menjamin manfaat sosioekonomi jangka panjang bagi generasi akan datang di kedua-dua buah negara.