Siaran Akhbar dan Foto : Biro Kawalan Narkotik
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Ke-16 ASEAN Airport Interdiction Task Force (AAITF) yang diadakan secara dalam talian pada 11 November 2026.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Penolong Pengarah BKN, Awang Zainol Adi bin Haji Ajmain dan disertai oleh wakil-wakil negara-negara ahli ASEAN.
Turut hadir, pegawai BKN dan Jawatankuasa Sekuriti Lapangan Terbang.
Berlandaskan semangat solidariti ASEAN, mesyuarat berkenaan merupakan satu platform bagi negara-negara ahli ASEAN untuk bertukar-tukar maklumat, berkongsi pengalaman operasi serta amalan terbaik dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi membanteras penyeludupan dadah melalui lapangan terbang.
Mesyuarat berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan NBD dalam memperkukuh kerjasama rantau serta usaha kolektif bagi menangani ancaman pengedaran dadah rentas sempadan.