Khazanah biodiversiti hutan negara terus didokumentasikan

12 Nov 2026 - 5:02am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Ihsan Universiti Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 November. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) melancarkan tiga judul terbaharu dalam siri Buku Panduan Lapangan IBER yang memfokuskan kepada kepelbagaian fauna di Taman Negara Ulu Temburong.

Tiga terbitan buku berkenaan ialah Herpetofauna of Ulu Temburong, Freshwater Fauna of Ulu Temburong dan Birds of Ulu Temburong, yang dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Ruang Bicara Minda, Perpustakaan UBD.

Buku-buku tersebut dihasilkan melalui penyelidikan lapangan yang meluas oleh pakar biodiversiti IBER, sebagai usaha mendokumentasikan serta memperkenalkan kekayaan biodiversiti dalam ekosistem hutan negara yang masih terpelihara dan tidak terusik.

Siri buku panduan lapangan berkenaan mengetengahkan kepelbagaian spesies reptilia, amfibia, ikan air tawar, invertebrata akuatik dan burung yang terdapat di Taman Negara Ulu Temburong, satu-satunya taman negara di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Antara penemuan penting yang diketengahkan dalam penerbitan tersebut termasuk spesies baharu ikan keli, Pterocryptis vorax, spesies burung yang jarang ditemui, Spectacled Flowerpecker (Dicaeum dayakorum), katak Belalong Tree Frog (Leptomantis belalongensis); serta Bornean Earless Monitor Lizard (Lantanothus borneensis), satu-satunya spesies yang diketahui masih wujud dalam famili Lanthanoidae, iaitu satu keturunan purba spesies cicak.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh tetamu kehormat, Country Head (Brunei) of Hibiscus EP (Brunei) B.V. (HEB), Ir. Dr. Ngiam Shi Song.

Turut hadir, Pemangku Naib Canselor UBD, Dr. Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi; Pemangku Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Reni bin Haji Yahya; Ketua Pegawai Projek Brunei Energy Services and Trading (BEST), Pengiran Haji Amirrudin bin Pengiran Haji Razali; Pengurus Aset UJV, Shell Deepwater Borneo B.V., Eunice Keasberry; serta pengetua-pengetua sekolah yang dijemput.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah IBER, Profesor Madya Dr. Rahayu Sukmaria Haji Sukri, selaku Ketua Projek Siri Buku Panduan Lapangan IBER menjelaskan bahawa penerbitan ketiga-tiga judul terbaharu tersebut membolehkan masyarakat meneroka dengan lebih mendalam kepelbagaian burung, herpetofauna dan fauna air tawar di Taman Negara Ulu Temburong serta Pusat Pengajian Lapangan Kuala Belalong (KBFSC), UBD.

Beliau turut menekankan potensi siri penerbitan tersebut sebagai wadah penting untuk memperluas pengetahuan mengenai biodiversiti, meningkatkan akses kepada maklumat bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan, di samping memperkenalkan kekayaan warisan alam semula jadi NBD kepada masyarakat antarabangsa.

Profesor Madya Dr. Rahayu Sukmaria Haji Sukri juga mengongsikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di KBFSC selama lebih tiga dekad telah menghasilkan pelbagai penemuan saintifik yang signifikan, sekali gus memperkukuh peranan pusat berkenaan sebagai stesen lapangan utama UBD dalam penyelidikan biodiversiti di negara ini.

Penerbitan tiga buku panduan tersebut merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara HEB dan UBD. HEB, dengan kerjasama BEST dan Shell Deepwater Borneo B.V., telah menyokong penerbitan ketiga-tiga buku panduan lapangan serta poster berkenaan menerusi inisiatif kelestarian mereka.

Kerjasama antara pihak industri dan institusi akademik itu memperlihatkan kepentingan perkongsian strategik dalam memajukan penyelidikan biodiversiti dan meningkatkan kesedaran alam sekitar, selain menjadikan pengetahuan saintifik dapat diterjemahkan kepada bahan pendidikan dan rujukan yang mudah diakses oleh khalayak lebih luas, sekali gus memupuk penghargaan terhadap kekayaan biodiversiti NBD.

Pada masa ini, Siri Buku Panduan Lapangan IBER merangkumi lima buah buku yang memfokuskan kepada flora dan fauna yang didokumentasikan di KBFSC dan Taman Negara Ulu Temburong, termasuk spesies yang mempunyai kepentingan tinggi dari segi pemuliharaan.

Selain mendokumentasikan spesies, buku-buku tersebut turut menyediakan penerangan mengenai spesies, gambar dan maklumat praktikal bagi tujuan pengenalpastian serta pemerhatian di lapangan. Ini menjadikannya bahan rujukan yang bermanfaat bagi pemantauan biodiversiti, pelaksanaan usaha pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar.

Penerbitan terbaharu itu melengkapi buku panduan terdahulu mengenai mamalia dan flora, sekali gus menyediakan rujukan yang lebih menyeluruh mengenai ekosistem dan hidupan liar di kawasan berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan pameran khas yang mengetengahkan Projek Penyelidikan Pemuliharaan Biodiversiti Kuala Belalong serta kepelbagaian burung, herpetofauna dan fauna air tawar di Taman Negara Ulu Temburong.

Manakal pada sebelah petang, program diteruskan dengan Siri Seminar IBER yang menampilkan pembentangan oleh para penyelidik UBD, iaitu Dr. Siti Salwa binti Abd. Khalid; dan Dr. Siti Rafhiah binti Haji Abd. Kahar dari IBER, serta Dr. Hanyrol Hanyzan bin Haji Ahmad Sah dari Fakulti Sains.

Pembentangan berkenaan berkongsi hasil dan pandangan penyelidikan mengenai burung, kepelbagaian fauna akuatik serta penyelidikan berkaitan reptilia dan amfibia di Ulu Temburong. Seminar tersebut dibukakan kepada warga kerja dan pelajar UBD serta orang ramai yang mencerminkan komitmen IBER dalam meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar serta menggalakkan kerjasama penyelidikan.

Melalui inisiatif berkenaan, IBER berhasrat memperkukuh hubungan antara penyelidikan biodiversiti, tindakan pemuliharaan dan kesedaran masyarakat. Usaha berkenaan juga menyokong Pelan Induk Kelestarian UBD, melalui usaha menterjemahkan hasil penyelidikan saintifik kepada bahan pendidikan serta menyediakan data asas sebagai panduan dalam pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber alam semula jadi NBD secara mampan.

Usaha berkenaan juga menyokong matlamat Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik 2024-2030 (NBPSPA) NBD serta Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memajukan ilmu pengetahuan, memperkukuh usaha pemuliharaan dan meningkatkan penglibatan serta kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian biodiversiti negara.

Maklumat lanjut mengenai cara mendapatkan buku panduan lapangan berkenaan boleh diperoleh melalui Instagram IBER di ‘@ubd.iber.kbfsc’.