Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah Abdullah, ihsan Universiti Brunei Darussalam
TUNGKU LINK, Rabu, 11 November. - Pengajian Melayu perlu terus diperkasa dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa, khususnya kemunculan Kecerdasan Buatan (AI), tanpa mengabaikan usaha memelihara khazanah bahasa, sastera dan budaya Melayu.
Sehubungan itu, Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Fakulti Sastera dan Sains Sosial dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Pengajian Melayu (PAPPPM) 2026 yang berlangsung selama dua hari, mulai 11 hingga 12 November bertempat di UBD.
Persidangan bertemakan ‘Pemerkasaan Pengajian Melayu dalam Era Kecerdasan Buatan’ itu bertujuan menyediakan platform akademik antarabangsa bagi para sarjana, penyelidik, pendidik dan pengamal bidang berkaitan untuk membincangkan perkembangan serta hala tuju Pengajian Melayu dalam mendepani perubahan teknologi, khususnya kemunculan AI.
Sehubungan itu, majlis perasmian persidangan telah berlangsung pagi tadi yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin. Majlis telah berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.
Semasa persidangan dua hari tersebut, PAPPPM 2026 dijangka menghimpunkan lebih 80 pembentang, terdiri daripada lebih 50 ahli akademik dan 30 pelajar dari enam buah negara, iaitu Malaysia, Republik Singapura, Republik Indonesia, Republik Rakyat China, Thailand dan Negara Brunei Darussalam.
Sepanjang persidangan, beberapa sesi utama turut diadakan, termasuk pembentangan ucaptama oleh Profesor Dr. Goh Sang Seong dari USM; Dr. Yabit bin Alas dari UBD; dan Profesor Dr. Oman Fathurahman dari UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, Republik Indonesia.
Persidangan berkenaan turut mengetengahkan sembilan subtema yang merangkumi pelbagai dimensi Pengajian Melayu antaranya bahasa, linguistik dan komunikasi digital; kesusasteraan Melayu dan ekspresi kreatif; kajian manuskrip Melayu dan filologi; kemanusiaan digital dan informatika budaya; serta budaya, masyarakat dan identiti dalam dunia global.
Turut menjadi fokus ialah teknologi, AI dan inovasi; penterjemahan dan pemindahan ilmu; kelestarian, etika dan daya tahan budaya; serta kepimpinan transdisiplin dan pendidikan masa hadapan.
Antara pengisian utama persidangan ialah forum khas bertajuk ‘Pengajian Melayu dalam Dunia Dipacu Data: Perspektif Linguistik, Politik dan Kejuruteraan Pintar’ yang membincangkan kedudukan serta potensi Pengajian Melayu dalam persekitaran ilmu yang semakin dipengaruhi oleh data, teknologi dan pendekatan rentas disiplin.
Selain sesi ucaptama dan forum, persidangan turut menyediakan sesi pembentangan akademik selari bagi memberi peluang kepada para peserta berkongsi hasil penyelidikan, bertukar-tukar pandangan dan meneroka pendekatan baharu dalam bidang masing-masing.
Antara isu yang diketengahkan termasuk kelangsungan bahasa, komunikasi digital, manuskrip Melayu, warisan budaya, penggunaan AI dalam penulisan, penterjemahan dan pendidikan.
Penganjuran PAPPPM 2026 mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kedudukan Pengajian Melayu sebagai bidang ilmu yang dinamik dan relevan dalam landskap akademik antarabangsa.
Dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat, Pengajian Melayu bukan sahaja berperanan memelihara khazanah bahasa, sastera dan budaya, malah perlu meneroka penggunaan teknologi digital bagi memperluas penyelidikan, pengajaran, pendokumentasian dan penyebaran ilmu.
Persidangan itu juga diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi, termasuk dalam bidang penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pertukaran akademik serta pembentukan jaringan penyelidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Melalui usaha berkenaan, ilmu dan warisan Melayu diharap akan terus didokumentasikan, dikembangkan dan diketengahkan agar kekal relevan dalam menghadapi perkembangan dunia semasa.
PAPPPM 2026 juga diharapkan bukan sahaja menjadi platform pertemuan akademik, malah turut berperanan sebagai pemangkin bagi kesinambungan wacana intelektual, kerjasama penyelidikan dan pengembangan Pengajian Melayu untuk generasi akan datang.