Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
GADONG, Rabu, 11 November. - Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD) pada hari ini telah mengadakan Majlis Penutup Konsortium Pendidikan PISA (Programme for International Student Assessment) Asia Tenggara Kali Pertama Tahun 2026 bertempat di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, yang juga selaku Ahli Lembaga Tadbir PISA NBD.
Majlis tersebut merupakan kemuncak kepada penganjuran konsortium dengan penyertaan delegasi daripada negara-negara Asia Tenggara, negara-negara rakan dari Asia Timur serta pakar-pakar daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Antara pengisian program pada hari kedua ialah lawatan kerja delegasi ke Sekolah Rendah Mabohai dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan. Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian konsortium yang memberi peluang kepada para delegasi untuk mengunjungi institusi pendidikan di NBD.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Sesi Dialog bertemakan ‘Lessons from PISA 2025 Results - Current Challenges and Future Opportunities’, yang menampilkan sesi perkongsian daripada pakar-pakar OECD dan delegasi jemputan. Sesi tersebut menjadi platform bagi para peserta untuk bertukar pandangan dan membincangkan cabaran semasa serta peluang masa hadapan berdasarkan dapatan PISA 2025.
Majlis Penutup mendengarkan pembentangan yang merumuskan amalan-amalan terbaik serta dapatan dan pandangan dasar pendidikan hasil PISA 2026 yang dikongsikan sepanjang konsortium oleh pakar OECD.
Sebagai kesinambungan kepada konsortium berkenaan, satu sesi khas akan diadakan pada 12 November ini, yang melibatkan pemimpin-pemimpin sekolah pada sesi pagi dan pemimpin-pemimpin sistem (‘system leaders’) pada sesi petang. Sesi tersebut turut merangkumi taklimat keputusan PISA 2025 bagi NBD, di samping bengkel-bengkel interaktif.
Konsortium Pendidikan PISA Asia Tenggara Kali Pertama Tahun 2026 bertemakan ‘Advancing Innovative and Sustainable Education: From PISA Evidence to Action’, yang menekankan kepentingan penggunaan bukti dan dapatan PISA dalam menyokong pembangunan dasar serta pendekatan pendidikan yang lebih inovatif, responsif dan mampan.
Konsortium yang berlangsung pada 10 hingga 12 November 2026 ini dianjurkan oleh NBD selaku tuan rumah bagi edisi sulung konsortium berkenaan, dengan pelaksanaannya diselaraskan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan. Konsortium ini merupakan satu platform kerjasama serantau yang menghimpunkan negara-negara Asia Tenggara serta negara-negara rakan dari Asia Timur bagi menggalakkan perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan berasaskan bukti dalam usaha meningkatkan kualiti dan kesaksamaan pendidikan.
Melalui penganjuran konsortium ini, diharap kerjasama serantau, perkongsian ilmu dan amalan terbaik serta jaringan profesional dalam bidang pendidikan akan terus diperkukuh, seterusnya menyumbang kepada usaha meningkatkan kualiti dan kesaksamaan pendidikan di rantau ini.