Muhammad Shah Rezza diiktiraf calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara

16 Sep 2026 - 5:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

BERAKAS, Selasa, 15 September. -  Majlis Mengagai Calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) bagi Tahun 2026 diadakan di Bilik Patih Barbai, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Majlis ini merupakan penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan Awang Muhammad Shah Rezza bin Abdul Aziz @ Rekan anak Lagat sebagai Calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Tahun 2026.

Majlis ini dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Timbalan Pengerusi PPN.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit selaku Setiausaha PPN; Ahli Panel Penilai Negara dan Urus Setia Unit Pengiktirafan.

Panel Penilai Anugerah Negara Brunei Darussalam telah sepakat memilih novel 'Bila Ombak Berombak' yang sekali gus mengangkat penulisnya, Awang Muhammad Shah Rezza bin Abdul Aziz dengan nama pena beliau, Rezza sebagai Calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Negara Brunei Darussalam bagi Tahun 2026.

Awang Muhammad Shah Rezza merupakan antara penulis Brunei Darussalam yang aktif memperkaya khazanah kesusasteraan tanah air melalui penghasilan cerpen, sajak, esei dan novel.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah dari tahun 1985 hingga 2012.

Antara karya perseorangan beliau ialah 'Ikan yang Sombong' (1987) dan 'Bila Ombak Berombak' (2026). Karya-karya beliau turut dimuatkan dalam pelbagai penerbitan di dalam dan luar negara.

Penganjuran Anugerah Penulis Asia Tenggara sebagai salah satu anugerah sastera berprestij di rantau Asia Tenggara ini menjadi pemangkin dan sumber galakan kepada penulis-penulis tanah air untuk terus menghasilkan karya sastera yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Majlis Penganugerahan kepada calon-calon penerima dari 10 buah negara Asia Tenggara akan diadakan di Istana Sukhothai, Bangkok oleh Ahli Kerabat Diraja Thailand pada penghujung tahun 2026.