Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pengajian Islam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kesultanan Oman, khususnya dalam bidang pendidikan dan warisan budaya terus diperkasa melalui penglibatan pelajar dalam Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan (At-Tau'amah) antara sekolah-sekolah NBD dan Kesultanan Oman Tahun 1447-1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Program berkenaan menjadi wadah bagi para pelajar berkongsi ilmu, budaya dan pengalaman bersama rakan sebaya daripada kedua-dua buah negara, di samping memperkasa penguasaan komunikasi bahasa Arab.
Program kendalian Unit Ta'zeez Al-Luhgah Al-'Arabiah, Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman berkenaan melibatkan lapan buah sekolah, masing-masing empat dari NBD dan empat dari Kesultanan Oman.
Penganjuran tahun ini merupakan kali ketiga sejak mula diperkenalkan pada 2021.
Program yang dilaksanakan secara dalam talian pada petang tadi dihadiri oleh Pengarah, Jabatan Warisan dan Hal Ehwal Kebudayaan, Kesultanan Oman, Dr. Younis bin Jamil Al-Naamani, selaku tetamu kehormat program.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung, Suruhanjaya Kebangsaan Oman untuk Pendidikan, Kebudayaan dan Sains, Kesultanan Oman, Dr. Mahmoud Abdullah Al Abri.
Turut memberikan ucapan ialah Ketua Unit Ta'zeez Al-Luhgah Al-'Arabiah, Bahagian Sekolah Arab, JPI, KHEU, Dr. Hajah Norasimah binti Haji Talip selaku Penyelaras Program At-Tau'amah bagi NBD.
Program diteruskan dengan pembentangan pengenalan program dari Kesultanan Oman, perkongsian pengalaman daripada peserta program terdahulu dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Sebanyak lapan sesi perjumpaan dalam talian telah diaturkan bagi memberi peluang kepada para peserta yang terdiri daripada guru dan para pelajar persekolahan Arab untuk mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai pelbagai tema berkaitan budaya, pendidikan, teknologi, bahasa dan kenegaraan menggunakan bahasa Arab sebagai medium komunikasi.
Program berkenaan merupakan antara usaha JPI dalam memperluas pengalaman pembelajaran pelajar melalui interaksi antarabangsa, di samping memperkasa penguasaan bahasa Arab dan membina keyakinan berkomunikasi dalam kalangan pelajar.
Penganjurannya turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dua hala antara NBD dan Kesultanan Oman dalam bidang pendidikan dan warisan budaya.