Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Selasa, 15 September. - Para pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) terdiri daripada Tahun 10 Fast, Tahun 11 Science 1, Tahun 11 Science 2 dan Tahun 9 Fast, petang tadi menyertai Program Outreach STEAM : Brunei Young Eco Innovators Project yang berlangsung di Dewan Serbaguna, SM YSHHB.
Program berkenaan merupakan kerjasama antara Big BWN Project dan Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office), bertujuan untuk memperkasa golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal berkaitan kelestarian alam sekitar, tindakan iklim dan inovasi menerusi pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) yang interaktif serta menarik.
Selain itu, pelbagai aktiviti dan sesi perkongsian telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar serta menggalakkan pelajar memainkan peranan aktif dalam membina masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada program berkenaan, Pengetua SM YSHHB, Dayang Sarimah binti Haji Lusin.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Sarimah merakamkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara institusi pendidikan dan sektor korporat dalam menyokong pendidikan alam sekitar serta pembangunan generasi muda yang berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program berkenaan turut menampilkan beberapa penceramah jemputan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, antaranya wakil Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office), Penolong Pengurus Bahagian Perhubungan Perniagaan, Dayang Hajah Rohayati binti Haji Damit; serta Noor Hafizah Rashid dari Big BWN Project.
Melalui sesi perkongsian, para penceramah berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial serta pelbagai inisiatif berteraskan komuniti yang mampu menyumbang ke arah pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang lebih mampan.
Sepanjang bengkel selama dua jam berkenaan, para pelajar didedahkan kepada beberapa tema utama yang menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Sesi pertama, iaitu Kesedaran Perubahan Iklim, memberi peluang kepada para pelajar memahami sains di sebalik perubahan iklim serta kesannya terhadap NBD. Seterusnya, para pelajarmenyertai cabaran interaktif Gaya Hidup Sifar Sisa (Zero Waste Living) yang memberi penekanan kepada amalan mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula bahan buangan menerusi pendekatan yang praktikal dan kreatif.
Program diakhiri dengan Majlis Ikrar Hijau (Green Pledge Ceremony), yang menyaksikan para pelajar melafazkan ikrar untuk mengamalkan gaya hidup lestari serta menjadi ejen perubahan dalam keluarga, sekolah dan masyarakat masing-masing.
Program Brunei Young Eco Innovators Project mencerminkan komitmen bersama Big BWN Project dan Mitsubishi Corporation dalam melahirkan generasi masa hadapan yang bertanggungjawab, kreatif dan berdaya inovasi dalam menangani cabaran alam sekitar.
Melalui program seumpama berkenaan, para pelajar juga digalakkan untuk mengaplikasikan pengetahuan STEAM, pemikiran kritis dan kreativiti dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran kelestarian alam sekitar yang semakin kompleks, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masa depan yang lebih hijau dan mampan.