2 premis perniagaan gagal patuhi Akta Kawalan Harga

10 Nov 2026 - 4:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan StatistikTUTONG, Isnin, 9 November. - Operasi Sepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di kawasan Kampung Sengkarai dan Kampung Panabai di Daerah Tutong pada bulan September 2026 telah mendapati dua buah premis perniagaan gagal mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

JPES telah mengeluarkan dua notis amaran ke atas dua premis perniagaan atas kesalahan menjual barangan yang dikawal harga iaitu beberapa jenis minyak masak, pada harga yang melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

Sementara itu, Unit SDT mendapati sebanyak sembilan unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan perniagaan yang mana kesemua alat-alat tersebut adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT selaras dengan Akta SDT, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat SDT 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).

Melalui pelaksanaan operasi sepadu secara bulanan ini, JPES dan Unit SDT akan terus memastikan para peniaga mematuhi perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta SDT, Penggal 151 serta seterusnya mengamalkan amalan perniagaan beretika bagi melindungi kepentingan pengguna.

Sebarang pertanyaan mengenai kawalan harga serta sukatan dan timbangan boleh disalurkan melalui saluran JPES melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn atau Unit SDT melalui e-mel sdt@meti.gov.bn.