Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Innovation Lab
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. – Brunei Innovation Lab (BIL) hari ini memeterai kerjasama strategik dengan STEMSEL Foundation Inc., Australia melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh pembangunan keupayaan teknologi, membina ekosistem inovasi serta melahirkan bakat digital di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Majlis yang berlangsung di Amphitheatre, BIL berkenaan menghimpunkan wakil-wakil kerajaan, para pendidik, rakan kerjasama ekosistem, pihak industri serta penggiat inovasi bagi menyaksikan jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi berkenaan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi BIL, Qawiem Yacob bagi pihak BIL, manakala STEMSEL Foundation Inc. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif STEMSEL Foundation Inc., Peng Choo.
Kerjasama berkenaan bertujuan mempercepat pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa hadapan melalui pelaksanaan program latihan untuk jurulatih (train-the-trainer), inisiatif pendidikan teknologi serta penggunaan platform pembelajaran RUNLINC AI-IoT di NBD.
Semasa majlis tersebut, Qawiem Yacob, menekankan kepentingan membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Beliau menjelaskan bahawa kerjasama berkenaan adalah selaras dengan tumpuan BIL dalam menyokong pembangunan syarikat pemula (startup) serta melahirkan bakat tempatan.
Qawiem Yacob turut menekankan nilai pendekatan pembelajaran secara praktikal dan amali yang membolehkan individu menterjemahkan idea kepada penyelesaian serta prototaip yang nyata, di samping membina keupayaan tempatan secara berterusan melalui pendekatan latihan untuk jurulatih.
Sementara itu, Peng Choo, menekankan kepentingan memupuk pemikiran yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan serta menerima perubahan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.
Beliau turut menjelaskan bahawa platform RUNLINC menyediakan maklum balas secara langsung dan pengalaman pembelajaran praktikal kepada para peserta, sekali gus membantu mempercepat pembangunan kemahiran serta memupuk keupayaan menyesuaikan diri, pemikiran kritis dan inovasi dalam kalangan peserta.
Manakala Ketua Pegawai Teknologi, Miroslav Kostecki, pula mengetengahkan potensi lebih luas teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) dalam bidang ekonomi dan perindustrian, khususnya bagi menyokong inovasi, keusahawanan, pertanian, pembuatan serta aplikasi industri pintar.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan peralatan pembangunan berbantukan AI seperti RUNLINC berupaya mengurangkan halangan kepada inovasi, menjimatkan kos pembangunan prototaip serta membolehkan syarikat pemula dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membangunkan serta melaksanakan penyelesaian teknologi dengan lebih pantas.
Sebagai sebahagian daripada program berkenaan, para jemputan berpeluang menyaksikan demonstrasi platform RUNLINC, melihat pameran projek yang dihasilkan menerusi program STEMSEL serta berinteraksi secara langsung dengan rakan kerjasama ekosistem dan para pendidik mengenai peluang-peluang baharu dalam bidang AI, IoT, robotik dan inovasi digital.
Sejurus selepas Majlis Penandatanganan MoU, para jemputan turut menghadiri sesi pameran projek yang dihasilkan oleh para peserta Bengkel BIL 102 : Smart Monitoring Systems Bootcamp (AI & IoT), yang dikendalikan oleh STEMSEL Foundation Inc.
Pameran tersebut mengetengahkan hasil praktikal daripada program latihan berkenaan, dengan para peserta membentangkan penyelesaian sistem pemantauan pintar serta prototaip yang dibangunkan sepanjang bengkel selama tiga hari itu.
Projek-projek yang dihasilkan merangkumi aplikasi dalam bidang pemantauan alam sekitar, pertanian, akuakultur, sistem keselamatan dan automasi. Inisiatif tersebut memperlihatkan potensi teknologi AI dan IoT dalam menangani cabaran tempatan serta menghasilkan penyelesaian inovatif yang bermanfaat kepada pihak industri dan masyarakat.
BIL merupakan platform kebangsaan yang dikhususkan bagi membangunkan syarikat pemula dan usahawan teknologi (technopreneurs), menghubungkan cabaran industri dengan para inovator serta menyokong pembangunan bakat teknologi tempatan menerusi pelbagai program yang merangkumi peringkat penjanaan idea, pembangunan prototaip hingga pengkomersialan.
Sementara itu, STEMSEL Foundation Inc. merupakan organisasi pendidikan dan teknologi dari Australia yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pembelajaran AI-IoT, pembangunan kemahiran digital serta pengukuhan keupayaan ekosistem inovasi menerusi platform RUNLINC dan teknologi pembelajaran modular.
Jalinan kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memajukan pendidikan teknologi, menggalakkan pertumbuhan yang dipacu inovasi serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang untuk memainkan peranan bermakna dalam perjalanan transformasi digital NBD.