Menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan

10 Nov 2026 - 5:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah (PDI) baru-baru ini telah menganjurkan Kejohanan Amal Badminton bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Tangkis Badminton Hall, Jalan Ikas Bandung, Lugu.

Kejohanan amal berkenaan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyokong aktiviti-aktiviti bermanfaat yang dianjurkan oleh Belia Muallaf As-Syahadah serta turut menyumbangkan dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, kejohanan itu juga menjadi platform untuk memupuk semangat persaingan yang sihat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemain badminton di negara ini.

Kejohanan tersebut telah disertai oleh 32 pasukan yang terdiri daripada 16 pasukan beregu lelaki dan 16 pasukan beregu perempuan.

Pertandingan telah dijalankan menggunakan format Round Robin bagi peringkat saringan, diikuti dengan format Knockout bagi peringkat suku akhir hingga ke perlawanan akhir.

Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI, Awang Isham bin Awang Ismail.

Penganjuran kejohanan amal berkenaan diharap akan menjadi pemangkin semangat kepada para pemain badminton serta masyarakat umum untuk terus menyokong dan menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan seumpamanya pada masa akan datang.

Semoga setiap sumbangan dan sokongan yang diberikan menjadi amal jariah serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala.