Berita dan Foto : Ihsan Bazilah Fatinah Haji Md. Yussof
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Seramai 42 murid prasekolah dari Sekolah Rendah Lumapas Kluster 1, bersama lima guru dan dua penjaga menyertai Lawatan Apresiasi ke McDonald's Gadong yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Lawatan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada murid-murid prasekolah yang telah menunjukkan usaha, kesungguhan dan pencapaian yang membanggakan dalam pembelajaran, khususnya mereka yang berjaya menamatkan bacaan sehingga Buku 8 menerusi Program Literasi Prasekolah, iaitu Program Semangat Rajin Literasi (SRL), serta murid-murid yang mencapai Level 6 dan ke atas dalam Sound and Word Assessment.
Selain memberi pengiktirafan terhadap pencapaian murid-murid, lawatan berkenaan juga diharap dapat meningkatkan motivasi dan minat mereka untuk terus memperkembangkan kemahiran membaca.
Di samping itu, lawatan tersebut juga diharap dapat mendorong murid-murid lain agar terus berusaha mencapai tahap bacaan yang lebih tinggi.
Sepanjang lawatan, murid-murid dan guru-guru telah disambut mesra oleh pihak pengurusan McDonald's Gadong. Murid-murid, guru-guru dan penjaga kemudiannya berkumpul di ruang tingkat satu McDonald's.
Acara dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Pengurus McDonald’s, Dayang Chayaani, diikuti dengan bacaan doa oleh Awang Haji Marali bin Haji Saibun.
Seterusnya, acara dimulakan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada murid-murid yang berjaya menamatkan bacaan sehingga Buku 8, diikuti dengan sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan.
Suasana lawatan turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot popular McDonald's, Grimace, yang menceriakan murid-murid serta memberi peluang kepada mereka untuk bergambar bersama maskot tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik turut diungkayahkan oleh pihak McDonald's, antaranya kuiz interaktif, permainan mencari barang dan permainan ‘musical chairs’. Aktiviti-aktiviti tersebut memberi peluang kepada murid-murid untuk mengambil bahagian secara aktif dalam suasana yang menyeronokkan.
Murid-murid turut menikmati hidangan yang disediakan sebelum berpeluang bermain di ruang permainan McDonald's.
Lawatan tersebut bukan sahaja menjadi satu bentuk penghargaan atas pencapaian pembelajaran murid-murid prasekolah, malah memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan di luar persekitaran sekolah.
Melalui aktiviti yang dijalankan, murid-murid juga berpeluang mengamalkan kemahiran sosial, berkomunikasi, mematuhi arahan serta menunjukkan tingkah laku dan adab yang baik ketika berada di tempat awam.
Pihak sekolah berharap agar pengalaman dan penghargaan yang diberikan melalui lawatan berkenaan akan terus menjadi pembakar semangat kepada murid-murid untuk mencintai budaya membaca serta menjadikan pembelajaran sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.