Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Usahawan Muda Brunei
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, 9 November. – Persatuan Usahawan Muda Brunei (Young Entrepreneurs Association Brunei – YEAB) telah menyertai Karnival Usahawan Muda ASEAN Ke-11 yang berlangsung pada 5 hingga 6 November 2026 di Kingsford Hotel Manila, Republik Filipina.
Karnival berkenaan menghimpunkan para usahawan muda, pemimpin perniagaan serta wakil-wakil dari seluruh negara ASEAN dan rantau yang lebih luas bagi memperkukuh jaringan perhubungan, bertukar-tukar pengetahuan serta meneroka peluang kerjasama serantau.
NBD diwakili oleh delegasi seramai lima orang yang terdiri daripada Presiden YEAB, Dayang Goh Chai Li; Naib Presiden I YEAB, Awang Muhammad Amirul Fahmiin bin Abdullah; Ahli YEAB, Awang Saifullah Safwan; usahawan, Awang Louis Loo; serta Sekretariat YEAB, Dayang Rasyidah binti Haji Zainul.
Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan YEAB dalam membawa suara komuniti usahawan muda NBD ke platform serantau, di samping membina hubungan dan jaringan kerjasama dengan para usahawan serta organisasi dari seluruh ASEAN.
Karnival yang dianjurkan oleh Philippine Young Entrepreneurs Association (PYEA) di bawah naungan ASEAN Young Entrepreneurs Council (AYEC) itu membawa tema 'Navigating ASEAN's Future Together : Young Entrepreneurs Driving Prosperity for All'.
Program selama dua hari tersebut merangkumi perbincangan, sesi perkongsian ilmu, peluang jaringan perhubungan serta interaksi bersama pihak berkepentingan serantau, dengan memberi tumpuan kepada peranan usahawan muda dalam membentuk masa depan ekonomi ASEAN.
Antara pengisian utama penyertaan NBD ialah penglibatan dua wakil YEAB sebagai penceramah dalam program utama karnival pada 6 November 2026.
Presiden YEAB, telah menyertai sesi panel bersama bertajuk 'Good Business Foundation Panel: Turning Adversity into Hope' sebagai ahli panel, bersama pemimpin perniagaan serantau, iaitu Claudia Ximenes dari Republik Demokratik Timor-Leste dan Aisa Labastilla dari Republik Filipina. Sesi tersebut membincangkan perkongsian pandangan mengenai cara menghadapi cabaran serta membina asas perniagaan yang lebih kukuh.
Sementara itu, Awang Saifullah Safwan turut tampil sebagai penceramah dalam sesi dua bertajuk 'Navigating the Digital Shift' yang disampaikan dalam format ala TED Talk. Sesi berkenaan menyediakan platform kepada para penceramah dari seluruh rantau ini untuk berkongsi pandangan mengenai perkembangan landskap digital serta implikasinya terhadap sektor perniagaan dan keusahawanan.
Karnival tersebut turut mengetengahkan perbincangan mengenai perjalanan keusahawanan ASEAN, perdagangan rentas sempadan, akses kepada pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), serta kepentingan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community-AEC). Perbincangan berkenaan memberi peluang kepada para delegasi untuk menimba pengetahuan serta memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama serantau.
Sebagai perhimpunan serantau yang diadakan setiap tahun, Karnival Usahawan Muda ASEAN terus berperanan sebagai platform penting bagi para usahawan muda untuk menjalin hubungan, bertukar-tukar pengalaman serta meneroka peluang perniagaan melangkaui sempadan negara masing-masing.
Selepas penganjuran edisi tahun lalu di Kuala Lumpur, Malaysia, karnival kali ke-11 tahun ini berlangsung di Manila, dengan Republik Singapura bakal menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya pada 2027, susulan penyerahan rasmi jawatan Pengerusi AYEC semasa acara penutupan karnival berkenaan.
Melalui penyertaan berterusan dalam penglibatan serantau seperti Karnival Usahawan Muda ASEAN, YEAB kekal komited dalam memperkukuh kehadiran NBD dalam ekosistem keusahawanan ASEAN, di samping membuka peluang kepada para usahawan tempatan untuk membina jaringan perhubungan yang bermakna, berkongsi pengetahuan serta meneroka kerjasama perniagaan rentas sempadan.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan perkembangan persatuan berkenaan boleh diperoleh melalui akaun media sosial rasmi ‘@yeabrunei’ dan laman sesawang ‘www.yeabrunei.com’.