Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
TUNGKU LINK, Isnin, 9 November. - Pertubuhan WARGAMAS Brunei telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam (MKAQ80) dan Riadahmas sempena Hari Aktiviti Warga Emas (HAWE) 2026 sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan melaksanakan dua program utama pertubuhan berkenaan sepanjang tahun ini.
Majlis berlangsung di Serikandi Banquet Hall, Tungku Link, Gadong dan dihadiri oleh tetamu kehormat bersama iaitu Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Haji Muhammad Melayong selaku Penasihat Pertubuhan WARGAMAS Brunei dan Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Haji Abdullah bin Ahad.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS Brunei, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don merakamkan kesyukuran kerana kedua-dua program berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
MKAQ80 telah diadakan pada 27 September 2026 di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong dengan kerjasama YSHHB. Majlis berkenaan mencatatkan kehadiran peserta yang menjangkau 1,000 orang, dengan peningkatan penyertaan peserta lelaki berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, Riadahmas telah diadakan pada 11 Oktober 2026 di tempat letak kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Menurut Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS Brunei, kerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan strategik amat penting dalam menyokong usaha ke arah penuaan berjaya, selaras dengan Pelan Tindakan Warga Emas 2025–2030 yang dilancarkan oleh KKBS.
Beliau turut menyentuh mengenai perkembangan demografi negara yang menunjukkan peningkatan jumlah warga emas. Berdasarkan data yang dikongsikan dalam ucapannya, seramai 53,100 orang warga emas direkodkan pada tahun 2025, iaitu 11.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa warga emas merupakan aset negara yang bernilai kerana memiliki pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang terkumpul sepanjang kehidupan mereka. Sumbangan golongan berkenaan bukan sahaja penting dalam kehidupan bermasyarakat, malah turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Sejak pergerakan Pertubuhan WARGAMAS Brunei bermula pada tahun 2019, pelbagai projek, program dan aktiviti telah dilaksanakan yang merangkumi bidang keagamaan, kebajikan, sosial, ekonomi, lawatan, pertukaran pengalaman dan ilmu, riadah serta kesenian.
Pertubuhan berkenaan juga terus berusaha menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian, jabatan, institusi, pihak swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada ahli-ahlinya.
Antara perancangan jangka panjang yang dikongsikan ialah cadangan untuk mewujudkan ‘Wisma WARGAMAS’, yang bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi dihasratkan menjadi pusat pemedulian warga emas dengan pendekatan ‘One Stop Emas’.
Inisiatif yang masih dalam peringkat perancangan itu dihasratkan dapat menyediakan sokongan dalam aspek kesihatan, kebajikan, keagamaan, pendidikan dan kehidupan seharian, bagi membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih harmoni, gembira dan sejahtera.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada rakan strategik, para penaja, dermawan, fasilitator Riadahmas serta para dermawan dan pihak yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.
Penghargaan juga diberikan kepada para peserta Riadahmas daripada Pertubuhan WARGAMAS yang berjaya menjadi juara dalam acara telematch Riadahmas 2026.
Majlis turut diisikan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, persembahan keagamaan yang merangkumi persembahan selawat daripada Wargawira dan persembahan tausyeh daripada Warganita serta persembahan silat perseorangan dan berkumpulan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan kesyukuran.
Pertubuhan WARGAMAS Brunei akan terus mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035, khususnya melalui usaha memperkasa kesejahteraan dan kualiti kehidupan warga emas di negara ini.