Wadah ilmiah martabatkan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu

12 Nov 2026 - 4:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) telah memulakan pengisian Mahrajan Bahasa Arab sempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2026 menerusi beberapa pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah-sekolah Arab dan institut tahfiz di Negara Brunei Darussalam.

Mahrajan tahunan tersebut menjadi wadah untuk memartabatkan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan warisan Islam di samping menggalakkan penggunaannya melalui aktiviti ilmiah yang interaktif dan kompetitif.

Penganjurannya turut membuka ruang kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat, mengaplikasikan pengetahuan serta membina keyakinan dalam kemahiran berbahasa Arab.

Antara aktiviti yang telah berlangsung ialah Pertandingan Terjemah Melayu-Arab-Inggeris pada 4 November 2026 di Auditorium UNISSA yang disertai oleh 15 pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9.

Pertandingan berkenaan bertujuan untuk mengasah kemahiran penterjemahan, khususnya dalam aspek ketepatan makna, penggunaan kosa kata dan pemahaman konteks bahasa.

Seterusnya Pertandingan Qiraah al-Akhbar (Membaca Berita) telah diadakan pada 7 November 2026 di Perpustakaan UNISSA dengan penyertaan lapan pelajar. Pertandingan tersebut mengetengahkan kemahiran membaca berita berbahasa Arab dengan memberi penekanan kepada ketepatan sebutan, intonasi, kelancaran dan keyakinan penyampaian.

Pengumuman para pemenang pertandingan akan dimaklumkan pada Majlis Penutup Mahrajan pada Januari 2027 nanti.

Penganjuran aktiviti-aktiviti berkenaan mencerminkan komitmen UNISSA dalam memartabatkan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu, di samping mencungkil bakat serta meningkatkan penguasaan dan keyakinan berbahasa dalam kalangan generasi muda.

Majlis Perasmian Maharajan Bahasa Arab akan diadakan pada 19 Disember 2026 nanti.