UBD mengalu-alukan 1,097 pelajar baharu sesi akademik 2026/2027

18 Og 2026 - 6:49am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengalu-alukan seramai 1,097 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 yang terdiri daripada 787 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 169 pelajar Ijazah Sarjana, 53 pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 88 pelajar UniBridge.

Majlis berkenaan berlangsung semasa sesi ucapan khas Naib Canselor bagi UniSTART Pelajar Baharu Sesi Akademik 2026/2027 yang diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Canselor, UBD.

Majlis dimulakan dengan ketibaan Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam serta bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran.

Dalam ucapan khas berkenaan, Dr. Hazri mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu ke UBD dan menggalakkan mereka memanfaatkan kehidupan di universiti sebagai satu tempoh untuk menimba ilmu, berkembang serta membentuk peribadi dan jati diri.

Beliau turut menggesa para pelajar agar sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan, menjunjung nilai-nilai UBD serta memanfaatkan sepenuhnya segala peluang yang disediakan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Dr. Hazri juga menyeru para pelajar supaya membiarkan ilmu menerangi kehidupan, membentuk sahsiah diri dan menjadikan khidmat kepada masyarakat sebagai tujuan dalam menimba ilmu, dan mengakhiri ucapan dengan seruan UBD, ‘Mendepan Bersama’ (Futuring Together).

Sebagai permulaan perjalanan mereka sebagai warga komuniti UBD, UniSTART 2026 merupakan program pembangunan dan orientasi selama lima hari yang dikhususkan bagi pelajar baharu.

Sebelum ini dikenali sebagai Freshers Week, UniSTART memperkenalkan pendekatan baharu bagi minggu pertama kehidupan di universiti dengan memberikan penekanan terhadap penerokaan diri, rasa kebersamaan dan tujuan.

Sepanjang program berkenaan, para pelajar akan meneroka nilai dan kekuatan diri, membina hubungan yang bermakna, meningkatkan daya tahan diri, mengenal pasti tujuan hidup serta memahami peranan mereka sebagai bakal graduan UBD.

Program berkenaan disusun secara berperingkat, bermula dengan tema ‘Who Am I?’ dan ‘What Can I Do?’, seterusnya ‘Who Will I Become?’, sebelum diteruskan dengan PAMOR Leadership Track dan diakhiri dengan PAMOR Spiritual and Community.

Antara ciri utama UniSTART 2026 ialah pengenalan empat buah Rumah UBD pada hari pertama, iaitu Bentara, Panglima, Satria dan Adiwira. Inisiatif berkenaan bertujuan memberikan para pelajar rasa kebersamaan dan semangat kekitaan yang lebih kukuh ketika memulakan perjalanan mereka di universiti.

Program UniSTART 2026 turut melengkapi kurikulum prasiswazah GenBESTARI UBD yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dan kokurikulum menerusi pendekatan holistik berpusatkan pelajar.

GenBESTARI bertujuan melengkapkan para pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk menghadapi dunia yang sentiasa berubah, di samping terus berpaksikan identiti dan nilai-nilai Negara Brunei Darussalam (NBD).

Selesai ucapan khas Naib Canselor, acara diteruskan dengan Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang melambangkan komitmen para pelajar untuk menjunjung nilai-nilai UBD serta melaksanakan tanggungjawab sebagai warga komuniti UBD.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan Doa Selamat.

UniSTART 2026 menjadi titik permulaan baharu bagi kumpulan pelajar UBD yang terbaharu, dalam mengorak langkah menempuh pengalaman universiti yang bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, malah turut membentuk perkembangan diri, hubungan yang bermakna, sumbangan kepada masyarakat dan rasa kekitaan yang kukuh.

Kumpulan pelajar baharu berkenaan juga merupakan kumpulan pertama yang menggunakan Nexus for Architecture, Data and Intelligence (NADI), iaitu platform digital bersepadu UBD.

Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan Machine Learning, NADI yang baharu dilancarkan berkenaan mengintegrasikan sistem akademik, pentadbiran dan operasi ke dalam satu ekosistem digital yang bersepadu.