Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Majlis Bercorak Keagamaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah bagi malam ke-11 diteruskan malam ini di Surau Istana Nurul Iman, bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Juga hadir Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Daniel @ Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong; Yang Berhormat Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap MTIC.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Majlis kemudiannya diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Membina Jiwa Tenang' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang.
Pengisian majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyarakal daripada pegawai dan kakitangan lelaki MTIC. Dikir Khairuman pula dipersembahkan oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Penanjong, manakala Dikir Bisyahrin dipersembahkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bengkurong.
Sementara itu, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dipersembahkan oleh guru-guru dan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Dalam pada itu, majlis bercorak keagamaan yang sama turut diadakan di Surau perempuan, Istana Nurul Iman. Tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Membina Jiwa Tenang' disampaikan oleh Guru Ugama Terlatih, PDI, Dayang Siti Noraini binti Haji Mohd. Hashim.
Antara pengisian tazkirah menyentuh mengenai kepentingan doa dalam kehidupan seorang muslim yang mana doa merupakan senjata orang beriman dan lambang pergantungan seorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Melalui doa, seorang Muslim bukan sahaja memohon keperluan dunia dan akhirat, tetapi juga memperkukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, amalan berdoa hendaklah dipelihara dan dilaksanakan dengan adab yang baik agar menjadi sumber keberkatan dan ketenangan dalam kehidupan.
Majlis turut disemarakkan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyarakal daripada pegawai dan kakitangan wanita MTIC. Dikir Khairuman dipersembahkan oleh Muslimah Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, manakala Dikir Bisyahrin dipersembahkan oleh Muslimah Masjid Omar Ali' Saifuddien. Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat pula dipersembahkan oleh guru-guru dan penuntut dari ITQSHHB.
Majlis disudahi dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan untuk negara dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.