Perasmian Program Masjid Tour Kali Ke-2

24 Og 2026 - 6:02am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Bagi memberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai dakwah serta menzahirkan corak kehidupan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD), khususnya kepada Masyarakat Bukan Islam (Non Muslim), Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Urus Setia Program Keugamaan Belia telah menganjurkan Program Masjid Tour Kali Ke-2, Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Program yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan tersebut dikendalikan bersama oleh Belia Mualaf As-Syahadah dan Bahagian Pengembangan Da’wah (Da’wah Khas), PDI, dengan sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Program Masjid Tour merupakan salah satu metodologi dakwah dan inisiatif dalam memperkenalkan masjid sebagai salah satu produk pelancongan di NBD yang berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong, sama ada yang beragama Islam mahupun bukan Islam, dari dalam dan luar negara.

Antara masjid yang sering menjadi tumpuan para pelancong di NBD ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. Selain itu, program ini turut memberikan galakan kepada para belia untuk tampil berani dalam menyampaikan maklumat berkaitan masjid dengan cara yang menarik, tepat dan berkesan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan program ialah Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.

Program ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengenali masjid dengan lebih dekat, memahami ibadah yang dilaksanakan oleh umat Islam serta membuka ruang interaksi bagi menjelaskan dan membetulkan sebarang salah faham mengenai Islam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi menandatangani papan tanda (‘signage’) sebagai simbolik perasmian Program Masjid Tour.

Para pengunjung kemudiannya dibawa melawat sekitar masjid, termasuk ruang utama sembahyang dan tempat berwuduk, serta berpeluang mengunjungi beberapa sudut khas yang disediakan, antaranya Kid’s Corner, Hijab and Sarong Corner, Jawi Corner, Khat Corner, Al-Qur’an Corner, ‘Spoken Barakah : Hidden Words We Say’ Corner, Sunnah Corner dan Find the Kiblat Corner.

Melalui pengisian yang disediakan, para pengunjung berpeluang mendapatkan gambaran yang lebih dekat mengenai fungsi masjid, amalan serta kehidupan umat Islam, di samping berinteraksi secara langsung dengan para pengendali program.

Inisiatif ini diharap dapat terus menjadi salah satu wadah dakwah yang berkesan dalam memperkenalkan Islam secara lebih terbuka, mesra dan informatif kepada masyarakat, khususnya kepada golongan bukan Islam.