Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Program Gema Selawat Nusantara anjuran bersama Kumpulan Meraih Berkah (KMB) dan Pengurus Cabang Istimewa Nahdlatul Ulama (PCINU) Brunei Darussalam menjadi wadah untuk memperkukuh jalinan ukhuwah khususnya melalui pengisian keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Majlis berkenaan berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah.
Majlis dimulakan dengan semakan Al-Quran Juzuk 29, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, lantunan ayat suci Al-Quran, persembahan Selawat Asghil serta tayangan slide show 'Meniti Sinar KMB'.
Antara pengisian majlis seterusnya ialah persembahan Selawat daripada PCINU dan tazkirah bertajuk 'Berkat Silaturahim Membawa Ke Jannah' yang disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Haji Harapandi Dahri.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma kasih kepada 30 anak yatim yang mengikuti kelas pengajian di bawah bimbingan KMB.
Ketua KMB, Dayang Hajah Florinda binti Haji Mejenis, semasa ditemui Pelita Brunei, antara lain menekankan kepentingan mengimarahkan usia dengan aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Jelasnya lagi, KMB yang ditubuhkan pada 2014 kini memasuki tahun ke-12 dan mempunyai kira-kira 300 ahli aktif.
Beliau seterusnya menambah, kumpulan berkenaan terus menganjurkan kelas pengajian, bacaan Al-Quran dan tazkirah selain melibatkan warga emas, golongan belia serta anak-anak yatim dalam pelbagai kegiatan.
"KMB turut menyediakan kelas pengajian secara percuma kepada anak-anak yatim bermula daripada peringkat Iqra hingga Al-Quran.
"Mereka juga diberikan peluang untuk terlibat dalam pengurusan majlis sebagai sebahagian daripada usaha mendidik dan membentuk rasa tanggungjawab dalam diri mereka," ujarnya lagi.
Kerjasama KMB dan PCINU berkenaan diharap akan terus diperkukuh dan diperluaskan termasuk menerusi perancangan KMB untuk mengimarahkan Ramadan tahun hadapan dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan secara berterusan.