Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Brunei dan Muara telah diadakan pada baru-baru ini, bertempat di Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut, selaku wakil Pemangku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulai dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diikuti bacaan Dikir Maulud serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa agar Negara Brunei Darussalam (NBD) terselamat daripada bala dan segala penyakit.
Objektif majlis diadakan adalah bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul serta menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.