Memperingati, menghayati perjuangan, akhlak, sunnah Rasulullah

24 Og 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit

MANGGIS / MADANG, Ahad, 23 Ogos. – Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (Masjid SSBRPAD), Kampung Manggis / Madang baru-baru ini telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis berkenaan diadakan sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam serta memperingati dan menghayati perjuangan, akhlak dan sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; serta Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.

Turut hadir, wakil daripada pendikir Kementerian Kesihatan, Pusat Pembangunan Belia, para Penasihat dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid SSBRPAD serta para jemaah masjid.

Majlis diserikan lagi dengan bacaan Dikir Syarafil Anam yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Nuzli bin Haji Jumat.

Sementara itu, Doa Khas untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dipimpin oleh Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.

Majlis berkenaan bertujuan untuk meningkatkan rasa kecintaan umat Islam terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menghayati sirah, akhlak dan sunnah Baginda serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Pihak pengurusan dan AJK Takmir Masjid SSBRPAD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu kehormat, jemputan, pendikir, agensi-agensi yang terlibat serta para jemaah yang telah hadir dan sama-sama menjayakan majlis berkenaan.

Semoga Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini terus menyemarakkan kecintaan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta mendorong seluruh umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.