Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab
TEMBURONG, Rabu, 25 November. - Kesedaran mengenai risiko konflik antara manusia dan buaya, khususnya ketika berada di kawasan perairan dan habitat buaya, terus diperkukuh melalui Program Kesedaran Hidupan Liar yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA).
Program anjuran Jabatan Bahasa Inggeris, SMSUA dengan kerjasama Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, kewaspadaan serta pemahaman para penuntut mengenai isu konflik manusia dan buaya di Negara Brunei Darussalam, termasuk langkah-langkah keselamatan bagi menghindari risiko serangan.
Hadir menyampaikan taklimat ialah Ketua Seksyen Pengurusan, Bahagian Hidupan Liar di Jabatan Perhutanan, Awang Haji Mohd. Jeffrey Haji Mohd. Sunnylai, bersama tiga pegawai bahagian berkenaan iaitu Awang Gapar Haji Ghani, Awang Md. Shahri bin Haji Murah dan Awang Suhaili bin Salleh.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua SMSUA, Dayang Hajah Rosiah binti Haji Gharif menzahirkan penghargaan kepada Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan atas kesudian berkongsi ilmu, pengalaman dan maklumat yang penting dalam membentuk kesedaran warga sekolah terhadap keselamatan ketika berhadapan dengan hidupan liar.
Dayang Hajah Rosiah menekankan bahawa pengetahuan mengenai risiko konflik manusia dan buaya amat penting, khususnya bagi memastikan para penuntut lebih berhati-hati ketika berada di kawasan yang diketahui sebagai habitat buaya, selain memahami tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Para penuntut juga diseru supaya memberikan perhatian sepenuhnya sepanjang taklimat, mengambil peluang untuk bertanya serta menyebarluaskan ilmu yang diperoleh kepada keluarga dan masyarakat, agar kesedaran mengenai keselamatan berhadapan hidupan liar dapat dipupuk secara lebih meluas.
Taklimat yang disampaikan oleh Awang Haji Mohd. Jeffrey turut memberikan pendedahan mengenai isu konflik manusia dan buaya serta kepentingan meningkatkan kewaspadaan ketika berada di kawasan perairan yang berpotensi menjadi habitat haiwan berkenaan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada wakil Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Program berkenaan diharap dapat memperkukuh pengetahuan dan kesedaran para penuntut mengenai keselamatan diri, di samping memupuk sikap bertanggungjawab serta menghormati habitat hidupan liar demi mengurangkan risiko konflik antara manusia dan alam semula jadi.