Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Singapore Writers Festival
REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 25 November. - Kekayaan bahasa, kesusasteraan dan warisan budaya Brunei terus diperkenalkan ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan Pensyarah dan Penyelidik Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Awang Muhammad Najib Noorashid, dalam Singapore Writers Festival (SWF) 2026 di Republik Singapura.
Penyertaan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk mengetengahkan khazanah tempatan kepada khalayak antarabangsa, malah memperkukuh perkongsian ilmu dan dialog budaya berkaitan bahasa, kesusasteraan, warisan serta kewartawanan di peringkat serantau.
Dr. Awang Muhammad Najib, yang berkhidmat dalam bidang Bahasa Melayu, Linguistik dan Kesusasteraan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UBD, dijemput menyertai tiga sesi perbincangan sepanjang festival yang berlangsung pada 13 hingga 22 November 2026.
Bertemakan Hidden in Plain Sight (Terlihat Dalam Tersirat), Edisi Ke-29 festival berkenaan menghimpunkan lebih 300 penulis, penceramah dan moderator dari seluruh dunia menerusi lebih 200 program yang merangkumi pelbagai bahasa, tradisi sastera dan perspektif antarabangsa.
Antara sesi yang disertainya ialah Royal Syair and Journalism in the Malay World (Syair Klasik dan Kewartawanan dalam Dunia Melayu), bersama penulis dan bekas wartawan Republik Singapura, Raman Daud serta penulis muda Annaliza Bakri.
Sesi tersebut membincangkan tradisi syair Melayu Klasik sebagai medium penyampaian pemikiran, sejarah dan komunikasi politik, serta hubungannya dengan amalan kewartawanan masa kini.
Beliau turut menyertai sesi The Path Named Heritage (Sebatang Jejak Bernama Warisan) bersama dua penerima anugerah belia kecemerlangan dari Republik Singapura, Syafiqah ‘Adha dan Liyana Nasyita, yang membincangkan hubungan antara warisan kebangsaan, budaya dan identiti, selain kepentingan memastikan khazanah budaya terus dihargai dalam masyarakat yang semakin berubah.
Sementara itu, sesi Say It Right : Navigating Cultural Sensitivities in Journalism (Ucapkan dengan Tepat : Menangani Sensitiviti Budaya dalam Kewartawanan), bersama wartawan dari Malaysia dan Republik Singapura, Leong Xin Yuan dan Irshath Mohamed, meneliti tanggungjawab wartawan dalam menyampaikan maklumat secara tepat, beretika dan mengambil kira sensitiviti budaya masyarakat.
Ketika ditemu bual, Dr. Awang Muhammad Najib menjelaskan bahawa warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu, tetapi merupakan sumber ilmu dan identiti yang perlu terus dikaji, didokumentasikan serta difahami.
“Warisan bahasa, kesusasteraan dan budaya merupakan sebahagian daripada khazanah intelektual sesebuah negara. Ia bukan sekadar sesuatu yang diwarisi, tetapi perlu terus diteliti, didokumentasikan dan diberikan nilai melalui penyelidikan.
“Bagi saya, usaha memelihara warisan bukan hanya tentang memastikan sesuatu tradisi itu kekal, tetapi juga memahami mengapa ia penting, bagaimana ia berkembang dan apakah sumbangannya kepada pembentukan masyarakat hari ini,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap lebih banyak penyelidikan dapat dilaksanakan bagi mengetengahkan karya, manuskrip, tradisi lisan, penggunaan bahasa dan amalan budaya Brunei kepada khalayak yang lebih luas.
Menurutnya lagi, Brunei mempunyai pelbagai khazanah yang masih berpotensi untuk diteroka, termasuk tradisi kesusasteraan, sejarah bahasa, karya klasik dan amalan budaya yang mempunyai nilai tersendiri.
Beliau turut berharap usaha penyelidikan dan penerbitan dapat terus diperkukuh agar khazanah berkenaan bukan sahaja dikenali di dalam negara, malah dapat diperkenalkan dan dihargai di peringkat antarabangsa.
Pengalaman sepanjang festival berkenaan juga memperlihatkan minat khalayak pelbagai latar belakang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Brunei, khususnya tradisi kesusasteraan Melayu, sejarah dan identiti budayanya.
“Perkara yang amat menggembirakan saya ialah apabila khalayak antarabangsa menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Brunei. Perbincangan seperti ini membuka peluang untuk kita berkongsi bukan sahaja apa yang kita miliki, tetapi juga cara kita memahami sejarah, bahasa dan budaya sendiri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Singapore Writers Festival dan seluruh jawatankuasa kerja yang telah memberikan peluang ini. Saya berharap penyertaan tersebut dapat membantu memperkenalkan Brunei dengan lebih dekat serta meningkatkan kefahaman dan keterlihatan warisan budaya negara kita di mata dunia,” tambahnya.
Dr. Awang Muhammad Najib turut menegaskan bahawa usaha memperkenalkan warisan tempatan perlu bergerak seiring dengan kerjasama serantau dan antarabangsa, yang membolehkan khazanah budaya dikaji daripada pelbagai perspektif, sekali gus memperkukuh hubungan budaya dan kefahaman antara masyarakat.
Sebagai pensyarah dan penyelidik UBD, beliau turut aktif dalam pembentangan penyelidikan serta perkongsian kepakaran di pelbagai platform akademik antarabangsa.
Penyertaan dalam Singapore Writers Festival 2026 sekali gus memberikan ruang kepada Brunei untuk menyumbang kepada wacana kesusasteraan dan kebudayaan serantau, di samping memperlihatkan bahawa khazanah tempatan mempunyai tempat dalam perbincangan global.
Usaha memelihara warisan, menurut beliau, merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan institusi, para penyelidik dan masyarakat dalam memastikan nilai bahasa, sastera serta budaya terus difahami, dihargai dan diwariskan kepada generasi seterusnya.