Siaran Akhbar dan Foto : Al-Huffaz Management
REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 25 November. - Al-Huffaz Management, sebuah perusahaan sosial dan platform pengurusan pendidikan dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai satu-satunya penerima anugerah dari NBD pada ASEAN Business Awards (ABA) 2026.
Organisasi tersebut berjaya membawa pulang anugerah berprestij Priority Integration Sector - Human Capital & Business Services. Anugerah tersebut telah disampaikan semasa Majlis Makan Malam Gala pada 15 November 2026 di Parañaque City, Republik Filipina, dan dianjurkan oleh ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) Filipina.
Kemenangan ini menandakan kejayaan NBD kembali mengukir nama di pentas serantau selepas tidak mempunyai sebarang penerima anugerah pada edisi tahun lalu.
Bersaing dengan perusahaan terkemuka dari seluruh Asia Tenggara, anugerah Priority Integration Sector (PIS) Excellence Award mengiktiraf perniagaan cemerlang, merangkumi syarikat peneraju pasaran yang telah lama bertapak hinggalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berkembang pesat.
Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan prestasi komersial luar biasa, daya tahan dalam operasi rentas sempadan serta keupayaan menetapkan piawaian baharu dalam integrasi sektor-sektor keutamaan utama Komuniti Ekonomi ASEAN.
Al-Huffaz Management menerima pengiktirafan atas impak berterusannya dalam pembangunan modal insan, pemerkasaan tenaga kerja serta penyediaan perkhidmatan perniagaan yang sistematik dan tersusun.
Ditubuhkan pada Mei 2016 oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Loqman Hamdan, Al-Huffaz Management bermula sebagai satu inisiatif berteraskan komuniti yang menghubungkan para pendidik Al-Quran dengan golongan pelajar di seluruh negara.
Sepanjang sedekad penubuhannya, perusahaan ini telah berkembang menjadi sebuah platform pengurusan dan perkhidmatan pendidikan yang berdaya maju serta mampu diperluaskan.
Perkembangan ini turut membuka peluang pekerjaan yang bermakna kepada para pendidik tempatan, di samping memperluaskan perkhidmatan perundingan dan latihan yang ditawarkan.
"Berada di pentas tersebut di Manila sebagai satu-satunya penerima anugerah dari Brunei, lebih-lebih lagi selepas setahun tanpa penerima dari negara ini, merupakan satu detik yang amat menyentuh perasaan dan penuh kerendahan hati," kata Loqman Hamdan.
Kemenangan ini tambahnya bukan hanya milik pasukan kami dan para pendidik, tetapi juga milik seluruh NBD. Ia membuktikan bahawa perusahaan tempatan yang dibangunkan oleh anak jati Brunei mempunyai daya tahan, inovasi dan semangat untuk berdiri seiring dengan perusahaan terbaik di ASEAN serta mengibarkan bendera negara dengan penuh kebanggaan.
Pencapaian bersejarah ini mengukuhkan lagi rekod kejayaan Al-Huffaz Management di peringkat serantau. Sebelum ini, organisasi berkenaan pernah menerima pengiktirafan sebagai Country Star of the Year bagi Brunei pada ASEAN Business Awards 2020 yang dianjurkan secara maya oleh Republik Sosialis Viet Nam ketika pandemik COVID-19.
Justeru, kejayaan menerima anugerah secara langsung di atas pentas di Republik Filipina kali ini membawa makna yang amat istimewa, sekali gus melengkapkan perjalanan kejayaan organisasi tersebut di peringkat ASEAN.
ASEAN Business Awards merupakan platform pengiktirafan perniagaan utama di Asia Tenggara yang dianjurkan setiap tahun oleh ASEAN-BAC. Anugerah ini meraikan perusahaan yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau, inovasi dan integrasi ekonomi ASEAN.