Pendaftaran Leaders Foundation Camp 2026 kini dibuka

26 Nov 2026 - 7:33am

Siaran Akhbar dan Infografik : Generasi Bekarih

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019, Leaders Foundation Camp (LFC) kini kembali membuka peluang kepada para belia berumur 17 hingga 25 tahun untuk menyertai kem kepimpinan selama tiga hari yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Disember 2026 bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

LFC yang dianjurkan oleh Generasi Bekarih dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan dan MPK Kampung Mata-Mata Kawasan 2 ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman awal dalam pembangunan kepimpinan belia.

Kem kepimpinan tersebut akan menampilkan pelbagai bengkel, aktiviti, dan sesi interaktif yang memberi penekanan kepada pembangunan diri dan kemahiran kepimpinan.

Antara kemahiran yang diterapkan termasuk komunikasi berkesan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, dan memupuk keyakinan serta kesedaran dalam kalangan peserta.

Pendaftaran dibukakan sehingga 11 Disember 2026. Para belia yang berminat untuk menyertai LFC bolehlah membuat pendaftaran melalui Kod QR atau pautan : ‘https://bit.ly/GB-LFC2026’.