Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Sekolah Bakti Dewa
TUNGKU LINK, Rabu, 25 November. - Sekolah Bakti Dewa telah menganjurkan Hari Keluarga Pendidikan Khas (SPED) yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Tungku Link.
Selain untuk mempromosi semangat kebersamaan, acara tersebut juga bertujuan untuk memupuk kerjasama dan memperkukuh inklusiviti terutama pelajar yang berkeperluan khas.
Acara berkenaan menghimpunkan para pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar dalam suasana penuh kemeriahan menerusi pelbagai aktiviti permainan interaktif serta pertandingan persahabatan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk permainan kerusi berirama, perlumbaan jarak dekat, balingan bola dan larian berhalangan yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggalakkan penyertaan aktif serta kerjasama dalam kalangan peserta.
Penganjuran Hari Keluarga SPED berkenaan bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan keluarga pelajar, di samping menekankan kepentingan pengalaman bersama, sokongan dan kerjasama dalam memberikan persekitaran yang positif serta menyokong perkembangan komuniti pendidikan khas sekolah berkenaan.
Sehubungan itu, pihak Sekolah Bakti Dewa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang berdedikasi serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan setiap aktiviti yang dianjurkan.
Penglibatan aktif semua pihak bukan sahaja memastikan kelancaran acara, malah menjadikan Hari Keluarga SPED sebagai wadah bermakna dalam menyemai semangat kekeluargaan, saling menyokong dan menghargai keunikan setiap individu.