Taklimat ketengahkan peranan kakitangan barisan hadapan

21 Og 2026 - 6:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengendalikan Sesi Taklimat Kesedaran Jenayah Siber Ke-10 kepada kakitangan barisan hadapan BIBD.

Seramai 70 kakitangan menghadiri taklimat bertajuk ‘Tren Jenayah Siber Terkini dan Cara Mengenal Pasti Mangsa’ yang disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad di Executive Lounge, Ibu Pejabat Bank BIBD.

Taklimat memberi penekanan kepada peranan kakitangan barisan hadapan sebagai barisan pertama dalam mengenal pasti petunjuk awal mangsa penipuan, termasuk tingkah laku pelanggan yang mencurigakan, transaksi luar kebiasaan serta alasan yang tidak munasabah bagi mengelakkan kerugian kewangan.

Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB melalui BSJS bersama BIBD dalam memperkukuh kerjasama membanteras jenayah siber serta meningkatkan kesedaran orang ramai.

Orang awam yang mengesyaki sebarang aktiviti penipuan atau menjadi mangsa jenayah siber disarankan untuk segera menghubungi Talian Bantu Anti-Penipuan 16993.