Program Literasi Penerangan labuh tirai

18 Og 2026 - 6:32am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. - Program Literasi Penerangan (PLP) bagi belia Daerah Belait menutup tirainya petang tadi di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil.

Majlis Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Haji Emzah.

Program kali ini disertai oleh 52 peserta daripada belia Daerah Belait yang terdiri daripada atlet-atlet belia Daerah Belait, ahli-ahli persatuan, pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) Belait, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah, Politeknik Brunei Kampus Lumut, belia-belia akar umbi dan belia-belia masjid.

Atur cara program hari kedua dimulakan dengan taklimat bertajuk ‘Peranan dan Tanggungjawab Rakyat Negara Brunei Darussalam’ disampaikan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

Sementara itu, taklimat pengenalan mengenai Program Pemulihan di Pusat Al-Islah disampaikan oleh salah seorang pegawai Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik.

Manakala pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan taklimat mengenai 'Menambat Dastar dan Menapih Sinjang' yang dikendalikan oleh Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN).

Selain mendengarkan taklimat, para peserta juga berpeluang mempelajari dan menyertai aktiviti menambat dastar dan menapih sinjang dengan bimbingan para pegawai dari JAIN.

PLP merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.