Persembahan Malam Muzikariasi Vol. 1 meriahkan Pentas Perayaan Tutong

5 Og 2026 - 6:39am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Selasa, 4 Ogos. - Kreazey Lions and The Stroller memeriahkan Pentas Perayaan Daerah Tutong dengan persembahan Malam Muzikariasi Vol. 1 yang mengambil tempat di Pentas Perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Acara yang diadakan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 berkenaan memberikan peluang kepada masyarakat menikmati hiburan yang berkualiti dalam suasana yang harmoni, selamat dan mesra keluarga.

Kreazey Lions and The Stroller yang ditubuhkan pada 2022 dan dianggotai oleh pemuzik berpengalaman daripada pelbagai latar belakang muzik merupakan juara Battle of the Band Tutong (2022) di samping itu juga pernah memenangi Battle of the Band Tutong (2025).

Penganjuran persembahan seumpama berkenaan adalah bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.

Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026 depan bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80.