Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Kluster 3
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Kluster 3 telah mengadakan Majlis Graduasi Murid Prasekolah dan Tahun 6 Tahun 2026 bertempat di Dewan Laksamana, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Jaya Setia, Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas, Awang Abdul Hafiz bin Awang Haji Abdul Manan. Turut hadir, ibu bapa dan penjaga murid serta warga sekolah.
Majlis graduasi ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid prasekolah yang bakal melangkah ke alam persekolahan formal serta murid-murid Tahun 6 yang telah menamatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah.
Penganjuran majlis ini juga bertujuan meraikan usaha, pencapaian dan perkembangan murid sepanjang tempoh mereka menimba ilmu di sekolah berkenaan. Antara sorotan utama majlis pada tahun ini ialah pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang murid-murid sekolah dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2026.
Seramai 10 murid telah memperoleh keputusan yang membanggakan, dengan pecahan pencapaian seperti berikut, tiga murid memperoleh keputusan 5A; empat murid memperoleh keputusan 4A 1B dan tiga murid memperoleh keputusan 3A 2B.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kepada seluruh warga Sekolah Rendah Amar Pahlawan. Kejayaan tersebut mencerminkan kesungguhan, disiplin dan komitmen murid-murid dalam mencapai kecemerlangan akademik, di samping dedikasi para guru serta sokongan padu ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.
Majlis graduasi ini bukan sekadar satu acara penyampaian sijil dan penghargaan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan pendidikan, usaha dan pengorbanan semua pihak yang terlibat dalam membentuk perkembangan serta potensi setiap murid.
Ia juga diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada murid-murid untuk terus berusaha, meningkatkan keyakinan diri dan melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya dengan semangat yang lebih tinggi.