Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Fairview
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Seramai 12 murid prasekolah (KG3) dan 11 murid Tahun 6 Sekolah Fairview telah diraikan dalam Majlis Graduasi sempena akhir tahun persekolahan yang diadakan pada baru-baru ini, bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Berakas.
Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid cemerlang prasekolah hingga Tahun 6 Sekolah Fairview sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Pada tahun ini, sekolah juga memberi penghargaan akan pencapaian bagi penyertaan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum, iaitu Program Bilal dan Imam Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta, International Postcard Writing Competition, Pertandingan Futsal bagi Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSG 2026) Ke-3, Pertandingan Dengarlah Ceritaku Sekolah-Sekolah Rendah Senegara dan Pertandingan Membaca Jawi Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor.
Turut hadir, Pengarah Akademik, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain; Pengarah Pentadbiran, Awang Azmin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad; Board Of Governors, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Awang Fahrul Razzi bin Pandin; ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan penjaga murid prasekolah hingga Tahun 6, serta guru-guru sekolah berkenaan.
Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan aktiviti kokurikulum telah disampaikan oleh Pengarah Pentadbiran. Seterusnya, penyampaian bagi murid cemerlang, murid prasekolah hingga Tahun 6 dan murid graduasi prasekolah dan Tahun 6 telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Ahmad Mu'adz bin Dziky Mulyaddey, murid Tahun 6. Seterusnya ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Fairview, Dayang Nur Azrina binti Ramlee.
Dayang Nur Azrina dalam ucapannya memanjatkan kesyukuran dan rasa bangga dengan pencapaian keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) murid-murid Sekolah Fairview dengan pencapaian seratus peratus lulus sekali lagi pada tahun ini.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua murid yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam akademik serta pencapaian murid-murid dalam aktiviti kokurikulum dan berharap pencapaian tersebut akan terus ditingkatkan pada masa-masa akan datang.
“Ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan dorongan dan kerjasama sepanjang tahun ini dan begitu juga dengan para guru atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan,” ujarnya lagi.
Acara seterusnya ialah ucapan daripada wakil ketua pelajar, iaitu Awang Muhammad Izz Thaqif bin Muhammad Asraf, dan diikuti dengan persembahan nyanyian pembukaan bertajuk 'Unwritten'. Seterusnya persembahan daripada murid-murid prasekolah hingga Tahun 6, iaitu ‘choral speaking’, nyanyian dan tarian.
Para murid diberi peluang menunjukkan keyakinan mereka untuk tampil di hadapan khalayak ramai, di samping menunjukkan bakat, kemampuan serta keberanian untuk beraksi di hadapan penonton. Persembahan ditutup dengan nyanyian beramai-ramai dengan lagu ‘Lemak Manis’.
Kehadiran ibu bapa pada majlis tersebut lebih bermakna apabila bersama-sama dapat meraikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka serta melihat sendiri kebolehan mereka membuat persembahan di atas pentas.
Kegembiraan terpancar di raut wajah ibu bapa apabila melihat gelagat mereka di atas pentas. Majlis seperti berkenaan diharapkan dapat menjadi ikutan (role model) kepada semua murid untuk terus meningkatkan pencapaian akademik dan terus menyerlahkan diri dalam aktiviti kokurikulum mereka di sesi persekolahan seterusnya.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama ibu bapa dan murid-murid yang diraikan.