Meningkatkan kesiapsiagaan, daya tahan perniagaan terhadap ancaman siber

25 Nov 2026 - 12:49am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin berkembang, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd. (Takaful Brunei) menganjurkan Forum Keselamatan Siber di Dewan Al Wahdah, Aras 3, Dar Takaful IBB Utama, hari ini.

Forum berkenaan menghimpunkan pakar industri tempatan dan serantau bagi membincangkan cabaran keselamatan siber, perlindungan data serta kepentingan memperkukuh daya tahan organisasi dalam menghadapi ancaman digital yang semakin kompleks.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Brunei, Awang Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

Kemudian diteruskan dengan ucapan pembukaan disampaikan oleh Pengurus Pejabat Perlindungan Data dan Kumpulan Antarabangsa, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Dayang Rawaida Aryssa binti Rakawi.

Antara pengisian utama forum ialah siri pembentangan, perbincangan panel dan bengkel yang menyentuh ancaman siber serantau, Perintah Perlindungan Data Peribadi (PDPO) 2025, peranan perlindungan insurans siber dalam menguruskan risiko kewangan dan operasi, serta peningkatan pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) terhadap keselamatan siber.

Perbincangan panel bertajuk 'The PDPO Reality Check : Securing Brunei Together' menampilkan Ketua Risiko Khusus dan Retakaful, Bahagian TBA, Pengiran Muhammad Adl-Azim bin Pengiran Haji Bahar; Naib Presiden II, Persatuan Keselamatan Siber Brunei, Awang Muhammad Azizul Amir bin POKPAPDPS Haji Hasrin serta wakil serantau dari Beazley dan Deloitte Singapore.

Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada keperluan pematuhan perlindungan data serta kepentingan kerjasama dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara.

Forum turut menampilkan bengkel bertajuk 'When It Happens : Building Your First-Hour Response Plan' yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasi Cyber Security Brunei, Awang Haji Mas Zuraime bin Haji Abdul Hamid. Bengkel berkenaan memberikan penekanan kepada perancangan tindak balas insiden serta persediaan organisasi apabila berhadapan dengan insiden siber.

Antara penceramah serantau yang turut menyumbangkan kepakaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CyberSafe Singapore, Dave Gurbani; Pengurus Serantau Risiko Siber Asia Pasifik, Beazley Pte. Ltd. Singapore, Teck Siong Ng; Pengarah Deloitte Singapore, Ric Chen serta Ketua Siber APAC, Gallagher Re, Carlos Grijalva.

Dave Gurbani menyampaikan pembentangan bertajuk 'Asia Under Attack : What This Means for Brunei Businesses' yang mengetengahkan ancaman siber yang semakin meningkat di rantau ini serta implikasinya terhadap perniagaan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Sementara itu, Teck Siong Ng membentangkan tajuk 'A Claims Journey : What Your Cyber Coverage Does After an Attack', dengan memberikan penjelasan mengenai skop dan batasan perlindungan siber serta proses tuntutan selepas berlakunya insiden siber.

Carlos Grijalva pula membincangkan perubahan risiko berkaitan AI menerusi pembentangan bertajuk 'How AI is Changing Cyber Risk : What Every Business Needs to Know and Do'.

Para penceramah serantau turut menyertai perbincangan panel bertajuk 'Lessons from Singapore, Action for Brunei' bersama Ric Chen, dengan berkongsi pengalaman dan langkah praktikal yang boleh diterapkan oleh syarikat-syarikat di negara ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber.

Dalam pada itu, forum berkenaan turut menyaksikan tayangan video korporat Takaful Brunei Am Sdn. Bhd. (TBA) mengenai perlindungan siber yang mengetengahkan kepentingan perlindungan Takaful sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko siber sesebuah organisasi.

Sejajar dengan landskap keselamatan siber yang terus berubah, TBA menawarkan produk Cyber Security Takaful yang direka bagi menyediakan perlindungan kewangan kepada perniagaan terhadap risiko dan insiden siber yang dilindungi, tertakluk kepada terma dan syarat yang berkenaan.

Perlindungan berkenaan melengkapi langkah keselamatan siber sedia ada dan membantu organisasi menguruskan potensi kesan kewangan akibat insiden siber.

Forum diakhiri dengan perbincangan panel bertajuk 'Cyber-Ready Together : Brunei’s Next Chapter' yang menampilkan Ketua Pegawai Operasi Takaful Brunei, Awang Barudin bin Haji Kudil dan Pengarah Urusan Gallagher Re, Faris Salim Davidson.

Perbincangan tersebut meneroka hala tuju serta langkah seterusnya dalam memperkukuh daya tahan keselamatan siber di NBD.

Melalui inisiatif berkenaan, Takaful Brunei meneruskan komitmennya dalam meningkatkan kesedaran keselamatan siber, menggalakkan perkongsian ilmu di peringkat serantau serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pihak industri bagi membantu perniagaan meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tahan terhadap ancaman siber yang sentiasa berkembang.