Kesejahteraan emosi asas pembentukan keluarga harmoni

25 Nov 2026 - 12:44am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Afiah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. – Persatuan Afiah dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan The Family Reset 2026 : Growing Strong Families pada baru-baru ini, bertempat di Rimba Point Event Space, Tingkat 1.

Program berkenaan diadakan adalah bersempena dengan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Kebangsaan dan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 dan disertai seramai 30 peserta.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh, selaku tetamu kehormat majlis.

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan emosi, memperkukuh sokongan keluarga serta menggalakkan pembentukan keluarga yang harmoni dan berdaya tahan.

Isu seperti tekanan hidup, ‘burnout’, ‘mom guilt’, krisis identiti wanita, konflik komunikasi suami isteri dan cabaran keibubapaan moden semakin meningkat dan boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, program berkenaan dilaksanakan agar ibu bapa, wanita dan masyarakat umum dapat memahami isu-isu tersebut dengan lebih mendalam, mengurus tekanan dengan bijak serta membentuk keluarga yang lebih harmoni dan resilien selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Melalui perkongsian dan forum interaktif, para peserta diberikan ruang untuk memahami cabaran tersebut, membina kesedaran kendiri serta memperkukuh hubungan dalam keluarga.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian ‘Parenting with Peace’ oleh Pakar Psikologi Pendidikan dari In Mind Psychology, Dr. Hajah Nor Irlenwati binti Haji Ismail. Seterusnya, disusuli dengan forum pagi ‘Blooming Roses Over Thorns’ dengan menampilkan dua ahli panel, iaitu Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman; dan Pakar Perunding Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Dayangku Dr. Raidah Hayati binti Pengiran Dr. Haji Mohamed, yang membincangkan cabaran serta kesejahteraan wanita dalam kehidupan seharian.

Manakala forum sesi petang pula bertajuk ‘Zero Stigma Home : Intervensi Peningkatan Kefahaman dan Empati Ibu Bapa terhadap Kesihatan Mental Remaja’ menampilkan tiga ahli panel, iaitu Kaunselor Kesihatan Mental dari AM Counselling, Dayang Nur Amalina Munyati binti Ismail; Pegawai Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid; dan Pegawai Kaunseling JAPEM, Dayang Hajah Bibi Farhana binti Haji Matamid.

Perbincangan memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dalam memahami kesihatan mental remaja, membina komunikasi yang terbuka serta mewujudkan rumah sebagai ruang yang selamat, penuh empati dan bebas stigma.

Program berkenaan turut dimeriahkan lagi dengan Jerayawara Pameran dari Kementerian Kesihatan, JAPEM dan Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga (BKNK), serta penyertaan lima peniaga (vendor), iaitu Cup Your Dream Enterprise, The Cookiesku Enterprise, Notate Bene Enterprise, Syarikat Little Heroes Bn dan Hana Cookies Enterprise.

Cabutan bertuah turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang hadir.

Persatuan Afiah turut merakamkan penghargaan kepada sembilan syarikat penyumbang, iaitu Nuqra Pure Honey, WeddingLoka Company, Wisa Company, Dil’s Cafe, Beverages by Wafi, Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd., Ai-Cha Bamboo Grove Jerudong, Ideal Food Industries Sdn. Bhd. dan Rantel Bengkurong Mart (Cawangan Sengkurong) atas sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Melalui The Family Reset 2026 : Growing Strong Families, Persatuan Afiah berharap program tersebut dapat menjadi pemangkin kepada kesedaran dan tindakan berterusan dalam menjaga kesejahteraan emosi diri serta keluarga.

Keluarga yang kuat bukanlah keluarga yang bebas daripada cabaran, tetapi keluarga yang saling memahami, mendengar, menyokong dan berkembang bersama dalam menghadapinya. Usaha ini turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan dan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.