Penyenaraian Tempat Kediaman bermula 3-23 Ogos 2026

5 Og 2026 - 6:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan mengendalikan Penyenaraian Tempat Kediaman (Houselisting) bermula pada 3 Ogos hingga 23 Ogos 2026 bagi setiap isi rumah di kawasan yang ditetapkan.

Penyenaraian Tempat Kediaman (Houselisting) berkenaan bertujuan untuk mengemaskinikan senarai tempat kediaman serta maklumat isi rumah di kawasan terpilih bagi kegunaan Kajian Tenaga Kerja (KTK) yang akan dijalankan pada 5 Oktober hingga 1 November 2026.

Majlis Mengangkat Sumpah bagi pelantikan 78 pegawai kajian KTK bagi 2026 telah diadakan pada 1 Ogos 2026 dan disaksikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perangkaan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Awang Bahrum bin Haji Kadun.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Jabatan Perangkaan, JPES memaklumkan bahawa pelaksanaan KTK berkenaan adalah selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.

Jelasnya lagi, pegawai-pegawai kajian yang dilantik adalah diamanahkan sebagai barisan hadapan untuk mengunjungi tempat-tempat kediaman yang ditetapkan dan berperanan untuk mengumpulkan dan mendapatkan data dan maklumat secara terperinci bagi memantau dan menganalisa perancangan dan pembangunan negara.

Hasil kajian berkenaan akan digunakan oleh pihak kerajaan dalam merangka dasar-dasar ekonomi dan sosial dengan lebih komprehensif dan berkesan. Antara maklumat yang diperoleh adalah termasuk nama dan nombor telefon ketua keluarga atau isi rumah, jumlah ahli isi rumah, dan alamat tempat kediaman yang terpilih. Setelah selesai memperoleh maklumat yang diperlukan, pegawai-pegawai akan memasang pelekat penanda bagi setiap tempat kediaman.

Bagi memastikan proses berjalan dengan lancar, isi rumah yang terpilih adalah diingatkan untuk terlebih dahulu mengesahkan identiti pegawai kajian dengan membuat pemeriksaan pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan vest rasmi JPES. Isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, terutamanya anjing adalah disarankan untuk menempatkan haiwan peliharaan di tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan pegawai kajian semasa melaksanakan lawatan.

KTK 2026 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam. Jabatan berkenaan ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih yang diliputi dalam kajian berkenaan bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.

Justeru itu, sokongan dan kerjasama semua keluarga atau isi rumah terpilih semasa Penyenaraian Tempat Kediaman adalah sangat diharapkan bagi sama sama menjayakan kajian berkenaan.

Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2026, bolehlah menghubungi melalui telefon dan WhatsApp di talian +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu, Jam 7.45 pagi hingga 4.30  petang atau e-mel labourforce.survey@jpes.gov.bn atau www.deps.gov.bn.