Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Ogos. - Ketua Pegawai Imigresen Kanan di Bahagian Permit Masuk, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Mohammad Shukran bin Haji Jaidin, telah disabitkan bersalah selepas perbicaraan pada 8 Jun 2026 oleh Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan kerana secara rasuah mencuba mendapatkan suapan berjumlah BND1,500 pada 17 Mac 2020 dan sekali lagi pada 22 April 2020 untuk dirinya dan Pegawai Imigresen Kanan, Duraman bin Haji Japar daripada seorang penduduk tetap bagi meluluskan permohonan Permit Masuk untuk isteri penduduk tetap tersebut.
Pertuduhan telah dikemukakan di bawah bab 6(a) dari Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 Undang-Undang Brunei, yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak BND30,000 dan penjara selama 7 tahun.
Pada 15 Ogos 2026, Defendan Mohammad Shukran telah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan bagi setiap dua pertuduhan tersebut. Hukuman diperintahkan untuk berjalan secara serentak dengan serta-merta.
Yang Arif Majistret Harnita Zelda Skinner telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas defendan memandangkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan dan bahawa defendan telah menyalahgunakan kepercayaan dan juga mengeksploitasi kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Imigresen Kanan untuk meminta wang sebagai balasan bagi melaksanakan tugasnya.
Defendan telah berulang kali memberikan tekanan kepada penduduk tetap tersebut untuk berunding dan membayar BND1,500 bagi meluluskan dan melanjutkan Permit Masuk.
Kesalahan rasuah yang dilakukan oleh pegawai perkhidmatan awam menjejaskan integriti perkhidmatan awam, terutamanya memandangkan Defendan ialah seorang pegawai kanan yang mempunyai kuasa yang besar. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Peguam Negara Shamshuddin bin Kamaluddin, manakala defendan telah diwakili oleh Peguam Bela Zamri bin Haji Taha.