Oleh : Khartini Hamir
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Selasa, 4 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum petang tadi mengadakan Peringkat Akhir Pertandingan Dengarlah Ceritaku Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para peserta ialah Ketua Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Haji Eady Sardi bin Pehin Datu Derma Sakti Dato Paduka Haji Abd. Razak.
Pertandingan ini dibukakan kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pertandingan dibahagikan kepada Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan, dengan setiap sekolah dibenarkan menghantar sehingga dua pasukan, iaitu masing-masing satu pasukan lelaki dan satu pasukan perempuan yang dianggotai oleh tiga orang pelajar bagi setiap pasukan.
Juara pertandingan bagi kategori lelaki disandang oleh Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, manakala naib juara ialah Sekolah Rendah Amar Pahlawan dan tempat ketiga jatuh kepada Sekolah Rendah Awang Haji Mohd. Yusof Katimahar.
Manakala bagi kategori perempuan pula, johan disandang oleh Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sementara tempat kedua ialah Sekolah Rendah Beribi Telanai dan berada di tempat ketiga ialah Sekolah Tadika Jaya Datin Hajah Malai Rogayah.
Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menarik minat, mencungkil dan mengembangkan bakat murid-murid dalam menyampaikan ilmu pengetahuan serta melahirkan generasi berilmu sebagai penggerak Negara Zikir.
Selain itu, pertandingan ini bertujuan memupuk kerjasama dalam menyampaikan kisah-kisah Al-Quran, meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan pelajar.