Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kekuatan sesebuah negara hari ini tidak lagi diukur melalui jumlah penduduk atau hasil ekonomi semata-mata, tetapi melalui kualiti modal insan.
Oleh itu, pembangunan tenaga manusia hendaklah dilihat sebagai pelaburan strategik yang menentukan keupayaan negara untuk terus berkembang, berinovasi dan berdaya tahan, jelas Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Matlamat kita terangnya, ialah untuk melahirkan rakyat yang berkemahiran, produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Selain itu, pendekatan pembangunan tenaga manusia juga perlu berubah daripada sekadar menyediakan pekerjaan kepada membina kerjaya yang berkualiti, meningkatkan keupayaan insan dan mempersiapkan rakyat menghadapi ekonomi masa hadapan.
Menurut Yang Berhormat, perubahan pesat dalam Kecerdasan Buatan, automasi, digitalisasi, ekonomi hijau, ekonomi penjagaan dan ekonomi platform sedang mengubah landskap pekerjaan dunia.
Justeru, tenaga kerja negara perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan kemahiran iaitu ‘upskilling’, memperoleh kemahiran baharu (‘reskilling’) serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Setiap usaha pembangunan ekonomi hendaklah diterjemahkan kepada peluang yang lebih bermakna untuk anak-anak tempatan. Kejayaan tidak boleh diukur hanya melalui jumlah pekerjaan yang diwujudkan, tetapi melalui kualiti pekerjaan, prospek kerjaya, peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran dan pendapatan yang mampu menyokong kesejahteraan keluarga,” terangnya.
Dalam hubungan ini jelas Yang Berhormat, usaha penyetempatan perlu terus diperkukuh, bukan sekadar memenuhi sasaran angka, tetapi memastikan anak tempatan diberi peluang belajar, dibimbing, diberi kepercayaan memimpin dan akhirnya mampu mengambil alih jawatan yang memerlukan kepakaran. Ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan industri.
Yang Berhormat turut menggariskan cabaran pengangguran juga perlu ditangani secara lebih menyeluruh.
Berdasarkan data Pusat Pekerjaan Brunei setakat Jun 2026, terdapat 14,976 pencari kerja aktif, di mana 79 peratus atau 11,876 orang berumur di antara 21 hingga 35 tahun; manakala 32 peratus iaitu 4,740 orang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan ke atas; 31 peratus iaitu 4,572 orang berkelulusan pendidikan menengah dan ke bawah; serta 21 peratus (3,217 orang) berkelulusan teknikal dan vokasional.
Data ini jelas Yang Berhormat, menunjukkan bahawa pengangguran merentasi pelbagai latar belakang dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti ketidakpadanan kemahiran, kurangnya pengalaman, kesediaan untuk bekerja, akses kepada pengangkutan, keadaan keluarga, kesihatan, jangkaan gaji dan perubahan keperluan industri.
Oleh itu tegasnya, penyelesaian isu ini memerlukan penyelarasan yang lebih erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri, agensi sosial dan masyarakat.
Penggunaan data serta analisis pasaran buruh juga perlu terus diperkasakan supaya dasar tenaga manusia dirangka berasaskan bukti.
Maklumat mengenai permintaan industri, kemahiran baharu, kadar pengekalan pekerjaan, perkembangan kerjaya dan produktiviti tenaga kerja hendaklah sentiasa dianalisis bagi memastikan intervensi kerajaan benar-benar menepati keperluan semasa dan masa hadapan.
Pembangunan tenaga manusia tambahnya, bukan sekadar agenda ekonomi, tetapi agenda strategik negara. Apabila rakyat memperoleh pekerjaan yang berkualiti, kesejahteraan keluarga akan meningkat, masyarakat menjadi lebih stabil dan negara akan menjadi lebih makmur serta berdaya tahan.
Oleh itu, segala dasar tenaga manusia hendaklah sentiasa berpaksikan matlamat untuk memastikan setiap rakyat yang berkeupayaan mempunyai peluang membina masa depan yang lebih baik melalui pekerjaan yang berkualiti, kemahiran yang relevan dan pembangunan kerjaya yang berterusan.