Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Alishahrin Haji Mumin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah mengadakan Majlis Graduasi Tahun 11 2026 buat julung kalinya bagi meraikan seramai 103 pelajar yang berjaya menamatkan pendidikan menengah mereka.
Majlis yang berlangsung di Dewan An-Naura itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Penolong Pengarah Urusan Perkhidmatan Korporat, Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad juga selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Antara penerima sijil yang diraikan ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien iaitu Mohammad Ashraf As-Seddiq bin Abdul Yusrin.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua SM YSHHB, Dayang Sarimah binti Haji Lusin menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian para graduan serta mengingatkan bahawa kejayaan menamatkan pendidikan menengah bukan sahaja merupakan penutup satu fasa kehidupan, malah menjadi permulaan kepada perjalanan baharu yang akan membentuk masa depan pelajar.
Beliau turut menekankan bahawa pengalaman menghadapi cabaran, ketabahan dalam mengharungi kesukaran dan keupayaan untuk terus berusaha merupakan nilai penting yang akan menjadi bekalan para pelajar dalam kehidupan, selain pencapaian akademik.
Para graduan juga diseru agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, rendah hati, keberanian dan sifat belas ihsan serta menggunakan ilmu yang diperoleh untuk memberikan manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Majlis tersebut bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, perkembangan sahsiah serta sumbangan para pelajar Tahun 11 sepanjang tempoh persekolahan mereka.
Selain itu, majlis berkenaan turut memberikan peluang kepada ibu bapa, penjaga, guru-guru dan warga sekolah untuk bersama-sama meraikan detik bermakna dalam kehidupan para graduan. Sebagai majlis graduasi sulung sekolah berkenaan, acara tersebut juga menandakan permulaan kepada satu tradisi yang bermakna dan berterusan pada masa akan datang.
Majlis itu turut menjadi wadah untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa melalui penglibatan mereka dalam meraikan kejayaan para pelajar. Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen pihak sekolah terhadap nilai-nilai kecemerlangan, keterangkuman, perpaduan dan pembangunan holistik pelajar.
Melalui majlis tersebut, para graduan berpeluang mengenang kembali perjalanan pendidikan mereka, meraikan kejayaan yang dicapai serta mencipta kenangan manis bersama rakan-rakan, guru-guru dan ahli keluarga.
Majlis itu juga diharap dapat menyuntik semangat, keyakinan dan inspirasi kepada para graduan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi serta mencapai cita masing-masing.
Pihak sekolah turut berharap agar Majlis Graduasi Tahun 11 berkenaan dapat dijadikan acara tahunan yang berterusan, sekali gus memberikan motivasi kepada generasi pelajar akan datang untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.