Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Alishahrin Haji Mumin
TUTONG, Selasa, 24 November. - Dalam memperluaskan jaringan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah pagi tadi menganjurkan Program Talian Kasih : Masjid-Masjid Serantau yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT), di sini.
Ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Majlis berkenaan dilaksanakan secara dalam talian pada setiap bulan bersempena dengan Hari-hari Kebesaran Islam dan Hari Kebesaran Negara, dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir, pegawai-pegawai masjid, Muslimah serta belia masjid.
Program tersebut merupakan kesinambungan daripada Muktamar Masjid-Masjid Serantau yang diadakan di Kuching, Sarawak, yang menekankan konsep Mosque Strategic and Smart Networking Centre.
Selain itu, ia menjadi wadah ilmiah dalam menjalinkan rangkaian persahabatan, perkongsian idea, ilmu pengetahuan dan program, di samping menyokong usaha mempromosi pelancongan Islam.
Hadir, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Juga hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor Darul Ehsan, Malaysia, Awang Haji Hashim bin Muhamad.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan penerangan Pengajian Ilmu Tasawuf di Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Fansuri Sharimi@Haji Mansur bin Mohamad Ali.
Diikuti dengan pengenalan MHBPT oleh Penasihat AJK Takmir MHBPT, Awang Haji Azhar bin Haji Yahya.
Acara diteruskan dengan perkongsian aktiviti takmir disampaikan oleh wakil dari Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Objektif utama program berkenaan adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara masjid-masjid senusantara, membuka peluang kerjasama projek dan usaha masa depan, serta berkongsi maklumat dan ilmu secara berkala.
Semoga dengan terlaksananya program tersebut, hubungan jalinan silaturahim antara masjid-masjid di NBD dengan masjid-masjid serantau akan semakin erat, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebudayaan dan pembangunan sahsiah umat Islam.