Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
TUTONG, Isnin, 17 Ogos. – Bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui bacaan Selawat dan puji-pujian ke atas Baginda, di samping menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengembangkan syiar Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Daerah Tutong, telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Tutong.
Majlis berkenaan telah diadakan di masjid berkenaan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan dari JHEM dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Muslimah masjid-masjid Daerah Tutong serta AJK Takmir Muslimah Masjid.
Antara objektif utama majlis berkenaan diadakan adalah untuk menzahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui amalan Selawat dan zikir, menggalakkan pembudayaan dikir Brunei dalam kalangan Muslimah serta mengeratkan silaturahim antara peserta Kelas Bimbingan Muslimah dengan AJK Takmir Muslimah Masjid.
Diharapkan agar penganjuran majlis seumpama berkenaan akan terus menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menarik minat para Muslimah untuk mendalami, menghayati dan mengamalkan dikir-dikir Brunei yang merupakan salah satu warisan kebudayaan keagamaan masyarakat Brunei yang telah diwarisi secara turun-temurun.