Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah masjid meneruskan Majlis Dikir Maulud malam yang ketujuh baru-baru ini bersempena memperingati Hari Keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.
Dikir Maulud berkenaan diadakan selama 12 malam berturut-turut sehingga 24 Ogos 2026. Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis Dikir Maulud berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran rombongan jemputan dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan rombongan jemputan daripada Muslimah Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Hadir mengetuai rombongan, Ketua Pegawai Operasi, Awang Haji Badaruddin bin Haji Bagol; dan ketua Muslimah Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Dayang Azniseriyanie binti Haji Isa.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid dan orang awam bagi sama-sama mengimarahkan masjid. Di samping mengimarah dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha berkenaan diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanamkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Diharap ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.