Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Isnin, 17 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus memperkukuh agenda pembangunan akademik dan kelestarian, di samping memperluas jaringan pengajian tinggi di peringkat antarabangsa bagi memastikan graduan yang dilahirkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Pada Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani memulakan sembah alu-aluannya dengan menyatakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada seluruh warga UNISSA.
“Keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik bukan sahaja menyerlahkan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik terhadap pembangunan pendidikan tinggi dan modal insan negara, bahkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh graduan untuk terus berbakti kepada agama, raja dan negara,” sembah Rektor UNISSA.
Selaras dengan keprihatinan UNISSA terhadap agenda kelestarian global, UNISSA tambah Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir telah mewujudkan Pelan Induk Kelestarian UNISSA 2026-2030 sebagai kerangka strategik hala tuju hijau.
Inisiatif ini sembahnya, sejajar dengan Dasar Pendidikan Hijau yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan serta matlamat Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekali gus memperkukuh komitmen UNISSA dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi bertanggungjawab terhadap kelestarian hijau dan pembangunan yang mampan.
Seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Strategik UNISSA 2024–2028, universiti ini terus komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang ilmu, bahkan memiliki jati diri Islam, kepimpinan, daya tahan serta kompetensi global.
“Berpandukan teras strategik utama iaitu Melahirkan Graduan Siaga Masa Depan, UNISSA sentiasa meneliti perkembangan landskap pendidikan tinggi antarabangsa dan keperluan pasaran kerja bagi memastikan setiap program pengajian, kurikulum serta aktiviti kokurikulum sentiasa relevan dengan perubahan semasa.
“Pendekatan ini bertujuan melahirkan graduan yang bersifat holistik, inovatif, beretika serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dan ummah,” sembah Rektor UNISSA lagi.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, UNISSA, sembah tambahnya terus memperkukuh ekosistem akademiknya melalui penawaran program-program pengajian yang responsif terhadap perkembangan ilmu, keperluan negara serta tuntutan masyarakat.
Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir seterusnya menyembahkan, bahawa UNISSA telah memperkenalkan beberapa program baharu di peringkat pasca siswazah bagi melahirkan tenaga profesional, penyelidik dan pemimpin yang berwibawa dalam bidang-bidang strategik.
Antaranya ialah Program Ijazah Sarjana Pelancongan (secara Penyelidikan) dan Program Doktor Falsafah Pelancongan di bawah Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan.
Penawaran program-program ini merupakan langkah strategik dalam menyokong pembangunan industri pelancongan yang berteraskan kelestarian, di samping memperkukuh agenda edu-tourism Negara Brunei Darussalam serta memperluas peranan UNISSA sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi Islam yang mengintegrasikan ilmu, penyelidikan dan pembangunan mampan.
Dalam masa yang sama, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam turut menawarkan Program Sarjana Pengurusan Pembangunan melalui mod Kerja Kursus dan mod Kerja Kursus dan Disertasi sembahnya lagi.
Program ini memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, penggubalan dasar dan pengurusan strategik berteraskan nilai-nilai Islam, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan pemimpin dan profesional yang berintegriti serta berdaya saing.
Menurut Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir lagi, sebagai manifestasi komitmen UNISSA terhadap pengantarabangsaan pengajian tinggi, universiti ini juga terus memperluaskan jaringan kerjasama akademik dengan institusi pengajian tinggi terkemuka di rantau ini.
Ke arah itu, Fakulti Bahasa Arab telah menawarkan Program Ijazah Dual Sarjana Bahasa Arab melalui kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Malaysia, manakala Fakulti Teknologi Islam menawarkan Program Ijazah Dwi Sarjana Media dan Komunikasi Teknologi Islam bersama Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Bandung, Republik Indonesia.
Kerjasama strategik ini sembahnya bukan sahaja memperkukuh reputasi akademik UNISSA di persada antarabangsa, bahkan membuka peluang kepada para pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran rentas negara, memperluas jaringan profesional serta meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran kerja serantau dan global.
UNISSA juga terus memperkasa program pembelajaran sepanjang hayat melalui penawaran Program Diploma Lepasan Ijazah Amalan Pengubatan Islam hasil kerjasama antara Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan Fakulti Syariah.
Program ini sembah beliau diwujudkan bagi melahirkan pengamal pengubatan Islam yang berpengetahuan, berkemahiran serta berpegang teguh kepada prinsip-prinsip syariah dan sunnah dalam amalan perubatan, sekali gus menyokong perkembangan sektor kesihatan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir seterusnya menyembahkan, dalam usaha memperkukuh keilmuan Islam yang bersifat multidisiplin, Fakulti Syariah turut menawarkan Kursus Minor Falak Syar'i yang memberi penekanan kepada aplikasi ilmu falak dalam penentuan waktu solat, arah kiblat, hisab dan rukyah.
Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan UNISSA memelihara khazanah keilmuan Islam melalui pendekatan yang relevan dengan perkembangan sains dan teknologi semasa.
“Bagi menyokong usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa, UNISSA telah menubuhkan Global Initiative Office sebagai pusat koordinasi pengantarabangsaan universiti.
“Penubuhan pejabat ini menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan kerjasama global, meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa, dan wadah memperkukuh kredibiliti UNISSA di persada dunia serta mengangkat Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pengajian tinggi Islam yang unggul,” sembah Rektor UNISSA.
Terdahulu dalam sembah alu-aluannya, Rektor UNISSA juga menyentuh bahawa pencapaian yang diraih oleh para graduan pada hari ini merupakan hasil usaha gigih sepanjang tempoh pengajian mereka di UNISSA.
“Kejayaan yang diraikan pada hari ini bukan sekadar melambangkan kecemerlangan akademik, bahkan mencerminkan ketabahan, disiplin dan iltizam mereka dalam menuntut ilmu serta mempersiapkan diri sebagai modal insan yang berilmu, berakhlak dan berbakti kepada masyarakat.
“Penghargaan yang tidak terhingga juga ditujukan kepada para ibu bapa, penjaga, ahli keluarga, para pensyarah serta seluruh warga UNISSA yang telah memberikan bimbingan, dorongan dan pengorbanan sepanjang perjalanan akademik para graduan sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian pada hari yang bersejarah ini,” sembahnya.