Siaran Akhbar : Tabung Amanah Pekerja
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap seorang majikan, Pengiran Hajah Shariffah Hidayat binti Pengiran Haji Amir Md. Yussof atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah undang-undang TAP.
Majikan tersebut telah mengaku bersalah kerana gagal membuat pembayaran caruman bagi Skim TAP, Skim SCP dan SPK seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273) bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak BND4,500 ke atas majikan tersebut dan mengarahkan pembayaran caruman tertunggak sebanyak BND77,898.45 kepada pihak TAP.
Sekiranya gagal membuat pembayaran denda dan caruman tersebut, hukuman penjara akan dijatuhkan terhadap majikan berkenaan.
Pihak TAP ingin mengingatkan semua majikan bahawa di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276), dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273), majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi BND3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi BND10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, majikan adalah diingatkan untuk memastikan caruman dibayar sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.
Para pekerja yang mempunyai aduan berkaitan penguatkuasaan seperti tidak berdaftar atau tiada pembayaran caruman boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan TAP melalui talian +673 730 2929 atau e-mel di alamat ‘enforcement@tap.com.bn’.
Aduan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan TAP, melalui Pusat Panggilan TAP di talian +673 272 2929 semasa waktu bekerja, atau melalui portal perkhidmatan dalam talian e-Amanah di ‘www.tap.com.bn’.