Kontinjen Daerah Belait terima bendera bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam

25 Okt 2026 - 7:01am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

BELAIT, Sabtu, 24 Oktober. – Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Daerah Belait bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, 2026 telah diadakan di Dewan Intisar, Jabatan Daerah Belait, petang tadi.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.

Pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait telah menyampaikan bendera kontinjen kepada ketua kontinjen, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Mohd. Yassin.

Selepas menerima bendera berkenaan, ketua kontinjen seterusnya menyerahkan bendera tersebut kepada pembawa bendera, iaitu Awangku Muhammad Abdul Qawi bin Pengiran Haji Zainal, atlet karate yang telah meraih 16 pingat, iaitu tiga emas, lima perak dan lapan gangsa dalam kejohanan di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia sepanjang 2026.

Beliau turut menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Karate Asia Tenggara di Republik Sosialis Viet Nam dan SUKMA Selangor 2026.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait yang antara lain mengingatkan kepada para kontinjen bahawa apabila melangkah ke perlawanan nanti, mereka bukan lagi mewakili diri sendiri, bukan juga persatuan atau kelab masing-masing.

“Malah ‘biskita’ mewakili satu daerah dan di belakang masing-masing adanya keluarga, jurulatih, guru, kawan dan semua pihak yang telah dan terus menghulurkan sokongan yang tidak dapat dinilai,” ujarnya lagi.

Awang Muhammad Faiq turut mengingatkan kepada para kontinjen agar membawa bersama harapan Daerah Belait dan ingatlah harapan adalah tanda bahawa ada orang yang percaya kepada mereka.

Jelasnya lagi, kita tidak akan menjanjikan bahawa setiap perlawanan akan dimenangi tetapi ada satu perkara yang terletak sepenuhya di tangan semua kontinjen, iaitu sama ada keluar dari gelanggang dengan hati yang tenang kerana tahu usaha tidak sia-sia.

Maka tambahnya lagi, tunjukkanlah disiplin, ‘sportsmanship’ dan profesionalisme yang memang sudah ada pada semua kontinjen daerah. Hormatilah juga para penganjur, pengadil dan pihak lawan dalam setiap perlawanan nanti.

Pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait turut menyerahkan surat-surat penghargaan kepada penaja-penaja kontinjen Daerah Belait.

Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, 2026 akan diadakan dari 7 hingga 14 November 2026. Daerah Belait akan menghantar seramai 180 atlet dan 70 petugas termasuk pengurus dan jurulatih semasa sukan berkenaan diadakan.

Kontinjen Daerah Belait akan menyertai kesemua 10 acara yang dipertandingkan iaitu akuatik, badminton, bola sepak, ‘futsal’, karate, olahraga, bola jaring, pencak silat, sepak takraw dan tarik kalat.

Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam berkenaan adalah anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, dan dikelolakan oleh persatuan-persatuan sukan di negara ini. Ia merupakan temasya sukan peringkat kebangsaan yang dianjurkan sebagai wadah bagi menghimpunkan atlet-atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.

Penganjuran Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, 2026 meneruskan kesinambungan usaha pembangunan sukan negara dengan menyediakan platform pertandingan yang kompetitif, memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan serta melahirkan atlet-atlet berpotnesi untuk mewakili NBD di kejohanan serantau dan antarabangsa.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, penolong-penolong ketua pasukan daerah belait, pengurus-pengurus pasukan, penaja-penaja serta atlet-atlet yang menyertai Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V 2026 dan juga pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Belait serta Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait.