Kalendar Acara VBY 2027 dilancarkan secara rasmi

25 Okt 2026 - 7:17am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) hari ini secara rasmi melancarkan Kalendar Acara Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027 - VBY 2027) di Dermaga Diraja, di ibu negara, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam persiapan menjelang VBY 2027, susulan Majlis Prapelancaran VBY 2027 pada Jun 2026.

Kalendar berkenaan kini menampilkan sebanyak 58 acara yang dibahagikan kepada enam kategori bertema, iaitu Warisan dan Tradisi Islam, Gastronomi dan Seni Kulinari, Penerokaan Alam Semula Jadi, Warisan Budaya dan Komuniti, Seni dan Kreativiti, serta Sukan dan Rekreasi.

Enam tema berkenaan mengetengahkan kepelbagaian tarikan pelancongan negara, merangkumi warisan Islam dan tradisi budaya, sajian tempatan, tarikan alam semula jadi, kegiatan komuniti, ekspresi kreatif serta pengalaman sukan.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Mohammad Harris bin Brigedier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; serta Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Salinah binti Haji Mohd. Salleh dalam ucapan alu-aluannya menekankan akan kepentingan penyertaan dan kerjasama secara kolektif dalam memastikan kejayaan VBY 2027.

Menurutnya lagi, memandangkan 2027 juga menandakan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 60 Tahun Menaiki Takhta Tahun 2027.

Sehubungan itu tambahnya, VBY 2027 merupakan peluang yang amat bermakna untuk mengetengahkan warisan, budaya, alam semula jadi dan pelbagai pengalaman unik negara kepada masyarakat tempatan serta pelawat antarabangsa.

Majlis Pelancaran berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan program VBY 2027, di samping menggalakkan penganjur acara, agensi kerajaan, pihak perniagaan, persatuan, kumpulan komuniti dan orang ramai untuk menyumbangkan idea serta inisiatif.

Penglibatan semua pihak diharap dapat memperluas kalendar acara, mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan bagi masyarakat tempatan serta memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung dan penduduk untuk meneroka Negara Brunei Darussalam (NBD) sepanjang 2027.

Majlis berkenaan turut memberikan pengiktirafan kepada para pemenang Pertandingan Fotografi dan Video ‘VBY Through Your Lens’. Pertandingan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kempen untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam mempromosi negara melalui penceritaan visual.

Melengkapi pelancaran dan pertandingan berkenaan, pameran industri pelancongan selama dua hari turut berlangsung di Dermaga Diraja pada 24 hingga 25 Oktober 2026. Pameran berkenaan menghimpunkan penganjur acara, ejen pelancongan, pihak hotel, penyedia perkhidmatan pelancongan dan pengusaha makanan tempatan untuk mengetengahkan tawaran masing-masing serta berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.

Kalendar acara VBY 2027 akan terus dikemas kini dengan penambahan acara dan aktiviti baharu yang dikenal pasti dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, JKP mengalu-alukan cadangan daripada penganjur acara, sektor perniagaan, persatuan dan kumpulan komuniti dari keempat-empat daerah untuk dipertimbangkan bagi dimasukkan ke dalam kalendar berkenaan.

Usaha berterusan berkenaan bertujuan untuk mempelbagaikan pilihan aktiviti yang ditawarkan, menggalakkan penyertaan di seluruh negara serta membuka lebih banyak peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman di NBD, melangkaui aktiviti bersiar-siar dan lawatan ke tempat-tempat lazim.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan mengakses Kalendar Acara VBY 2027, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi JKP di ‘www.bruneitourism.com/vby2027/’ atau mengikuti akaun Instagram ‘@info.bruneitourism’.