Projek pengubahsuaian Tamu Aneka tingkat kemudahan perniagaan Temburong

25 Okt 2026 - 7:59am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Sabtu, 24 Oktober. - Majlis Peletakan Batu Asas bagi Projek Menaik Taraf dan Pengubahsuaian Bangunan Tamu Aneka di Pekan Bangar diadakan sebagai simbolik permulaan kepada usaha mempertingkatkan kemudahan dan prasarana perniagaan di Daerah Temburong.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong; serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.

Hadir sama, pegawai-pegawai kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

Projek yang bermula pada 6 Oktober 2026 dan dijangka siap pada 5 Januari 2027 berkenaan akan membangunkan Tamu Aneka dengan konsep ‘Di Bawah Satu Bumbung’, yang bertujuan menghimpunkan pelbagai aktiviti perniagaan di satu lokasi bagi menyediakan persekitaran yang lebih teratur, selesa dan mudah dikunjungi oleh orang ramai.

Sebanyak 78 petak perniagaan akan disediakan bagi memberi ruang kepada para peniaga menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing, di samping menyediakan lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, meningkatkan keselesaan para peniaga dan pengunjung serta mengukuhkan peranan Pekan Bangar sebagai pusat tumpuan perniagaan dan masyarakat di Daerah Temburong.