Memperkukuhkan integrasi serantau, membangunkan koridor ekonomi

25 Okt 2026 - 8:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menekankan kepentingan bagi memperkukuhkan kesalinghubungan serantau, perdagangan, pelaburan dan kepelbagaian ekonomi semasa Forum Ekonomi Borneo Kali Kedua yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 7 hingga 8 Oktober 2026.

Forum tersebut turut diraikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang menyampaikan ucaptamanya.

Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, juga turut menyampaikan ucaptama forum dengan tema ‘Brunei Darussalam’s Vision for Borneo: Strengthening Regional Connectivity, Trade, Investment and Economic Diversification’.

Dalam ucaptamanya, NBD menekankan visi bagi Borneo adalah untuk menjadikannya sebagai sebuah rantau yang lebih terhubung, bersepadu dan makmur, dengan kesalinghubungan yang lebih kukuh bagi memacu perdagangan, mewujudkan peluang-peluang baharu bagi pelaburan, dan kepelbagaian ekonomi menyumbang kepada peluang yang mampan dan inklusif bagi rakyat di rantau ini.

Ucapan tersebut juga menggariskan kepentingan bagi menyelaraskan keutamaan ekonomi NBD di bawah Wawasan Brunei 2035 dengan rangka kerja serantau yang lebih luas, termasuk ASEAN Community Vision 2045 dan BIMP-EAGA Vision 2035.

Rangka kerja ini menyediakan peluang untuk memperkukuhkan integrasi serantau, membangunkan koridor ekonomi serta memperdalami penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global.

NBD turut menekankan potensi kerjasama rentas sempadan yang lebih besar dengan Sarawak, Sabah dan Kalimantan, khususnya dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan pengeluaran makanan. Antaranya meneroka potensi kerjasama dalam projek-projek seperti penanaman padi secara komersial dan peluang dalam pengeluaran ternakan dan akuakultur, mencerminkan usaha bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan serantau, membangunkan rantaian bekalan bersepadu dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Di samping forum tersebut, sesi perbincangan ‘roundtable’ turut diadakan mengenai ‘Borneo Grid: Powering ASEAN’s Growth’, ‘Digital Borneo: Powering the New Economy’ dan ‘Towards a Unified Borneo Integrated Industrial Hubs’.

Perbincangan ini merupakan sebahagian daripada program forum berkenaan kerjasama ekonomi serantau. Forum ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Borneo Economic Community (BEC) dengan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan kesalinghubungan ekonomi antara Borneo dengan rantau ASEAN yang lebih luas.

Pada 8 Oktober 2026, selepas forum tersebut, sesi Business-to-Business (B2B) Matching telah diadakan. Sesi tersebut menemukan syarikat-syarikat, pelabur dan pihak berkepentingan utama berdasarkan minat dan peluang perniagaan yang sama, sekali gus menyediakan platform untuk meneroka potensi perkongsian, memudahkan hubungan perniagaan dan menjadikan perbincangan forum kepada peluang perniagaan yang konkrit.

Forum Ekonomi Borneo Ketiga akan diadakan di Nusantara, Kalimantan Timur, Republik Indonesia.