Ahmad Rafiq Azzawani, Dayangku Alya Syahirah juara musabaqah peringkat saringan kebangsaan

25 Okt 2026 - 7:52am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

RIMBA, Sabtu, 24 Oktober. - Awang Ahmad Rafiq Azzawani bin Haji Muhammad Zainul Arifin Lubis dan Dayangku Alya Syahirah binti Pengiran Haji Jofri masing-masing dinobatkan sebagai juara Kategori Lelaki dan Perempuan dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Musabaqah yang berlangsung selama empat hari itu diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, dan dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori.

Seramai 78 peserta lelaki dan 20 peserta perempuan menyertai musabaqah berkenaan, dengan 51 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat pertandingan seterusnya.

Penganjuran musabaqah itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan penghayatan terhadap isi kandungan Al-Quran, mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta serta mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah Negara Zikir.

Melalui penganjuran seumpama itu, diharapkan akan dapat melahirkan qari dan qariah yang berpotensi serta berkualiti, di samping meningkatkan mutu bacaan Al-Quran.

Usaha berkenaan juga diharap dapat membentuk individu yang mampu menjadi teladan kepada masyarakat dalam menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, penganjuran musabaqah secara berterusan diharap akan terus menyemarakkan budaya membaca dan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.