Melahirkan warga pendidik ugama berakhlak mulia, berintegriti

25 Okt 2026 - 7:13am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Kumpulan Syabab An-Nur dan Kumpulan Hurunn ‘Ain masing-masing muncul johan bagi Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan dalam Pertandingan Murattal Al-Quran Berkumpulan bagi Warga Pendidik Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), yang berlangsung pagi tadi.

Naib johan bagi Kategori Lelaki disandang oleh Kumpulan As Syahidul Quran, manakala tempat ketiga diraih oleh Kumpulan Assoutul Mu’allim.

Sementara itu, naib johan bagi Kategori Perempuan pula ialah Kumpulan Imtiyaz Qurani, diikuti Kumpulan An-Nuuriah di tempat ketiga.

Pertandingan berkenaan diadakan sempena Semarak Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal dan berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar.

Peringkat saringan pertandingan berkenaan telah berlangsung pada awal Oktober lalu dengan penyertaan sebanyak 24 kumpulan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu 10 kumpulan bagi Kategori Lelaki dan 14 kumpulan bagi Kategori Perempuan.

Daripada jumlah berkenaan, enam kumpulan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, masing-masing tiga kumpulan bagi setiap kategori.

Penganjuran pertandingan berkenaan diharap akan dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga pendidik, di samping memantapkan penguasaan serta mutu bacaan Al-Quran.

Selain itu, pertandingan berkenaan juga dihasratkan untuk melahirkan warga pendidik ugama yang mampu menjadi teladan dalam menghayati dan mengamalkan ajaran Islam, selaras dengan tema Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, iaitu ‘Ukhwah Kukuh, Pendidikan Teguh’.